Kita percaya bahawa Allah SWT adalah pencipta yang unggul. Tiada tandingan. KehebatanNya mencipta seluruh alam ini tidak akan mampu disangkal oleh mereka yang mahu menggunakan akal untuk berfikir. Bagaimana Allah mencipta dengan teraturnya kejadian manusia, matanya, hidungnya, jari jemarinya, bentuk kakinya, sesuai dengan keperluan kehidupan seorang manusia. Belum dikira lagi betapa halusnya Allah menciptakan pembuluh-pembuluh darah, dan menciptakan ribuan sel serta berbagai sistem, semuanya pula ada tanggungjawab dan tugasan sendiri dalam menggerakkan seorang manusia. Itu baru manusia. Belum kita lihat pula tumbuhan-tumbuhan yang pelbagai jenis, yang semuanya dicipta sesuai dengan keadaan kehidupan mereka, haiwan-haiwan, langit, gunung ganang, air, tanah, bahan bakar, bintang-bintang, matahari dan bulan, planet-planet. Yang mana di dalam semua itu terdapat jutaan mikro organisma, sistem, yang semuanya punya kehidupan sendiri dan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan alam i...