ALLAH yang sama, ALLAH yang sama juga ...



Kita percaya bahawa Allah SWT adalah pencipta yang unggul. Tiada tandingan. KehebatanNya mencipta seluruh alam ini tidak akan mampu disangkal oleh mereka yang mahu menggunakan akal untuk berfikir.

Bagaimana Allah mencipta dengan teraturnya kejadian manusia, matanya, hidungnya, jari jemarinya, bentuk kakinya, sesuai dengan keperluan kehidupan seorang manusia. Belum dikira lagi betapa halusnya Allah menciptakan pembuluh-pembuluh darah, dan menciptakan ribuan sel serta berbagai sistem, semuanya pula ada tanggungjawab dan tugasan sendiri dalam menggerakkan seorang manusia.

Itu baru manusia. Belum kita lihat pula tumbuhan-tumbuhan yang pelbagai jenis, yang semuanya dicipta sesuai dengan keadaan kehidupan mereka, haiwan-haiwan, langit, gunung ganang, air, tanah, bahan bakar, bintang-bintang, matahari dan bulan, planet-planet. Yang mana di dalam semua itu terdapat jutaan mikro organisma, sistem, yang semuanya punya kehidupan sendiri dan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan alam ini bergerak dengan baik. Kalau kita kaji semula, tiada ‘flaw’ dalam sistem yang Allah ciptakan. Semuanya berjalan lancar dan baik.

Masya Allah. Allahu Akbar!

“Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.” Surah Al-Mukminuun ayat 14.

Tetapi hairan. Allah telah membuktikan bahawa Dia adalah Pencipta Terhebat, Pengatur Terbaik, dan semua yang diatur olehNya lancar serta berjalan dengan baik, namun ada pula manusia yang mempertikaikan hukum-hukumNya untuk mereka.

Hairan. Bukankah Allah yang menciptakan alam yang cukup sempurna ini, dengan Allah yang menciptakan hukum syara’ itu adalah Allah yang sama?

Tidakkah kamu memerhatikan?

Kamu boleh percaya itu, tetapi kamu tidak boleh percaya ini?

Hairan bukan, apabila kita mampu terpegun dengan kehebatan Allah SWT yang menciptakan oksigen just nice dengan kadar 21%, kadar yang paling sempurna untuk memastikan seluruh kehidupan dapat hidup dengan baik, tetapi kita tidak mampu percaya bahawa arahan Allah SWT untuk menutup aurat itu juga adalah satu arahan yang membawa kebaikan?

Hairan bukan, apabila kita mampu mengakui kebesaran Allah SWT yang menciptakan jarak antara Bumi dan Matahari dalam keadaan just nice, dengan jarak 149,680,000 kilometer, jarak paling sempurna untuk memastikan seluruh kehidupan dapat hidup dengan baik, tetapi kita tidak mampu percaya bahawa segala peraturan dalam Islam yang Allah SWT ciptakan itu perlu ditaati dan dipenuhi?

Telah terbukti bahawa Allah adalah yang tidak akan melakukan sesuatu dengan sia-sia, telah terbukti bahawa Allah SWT apabila mengarahkan sesuatu, arahanNya itu membawa kebaikan.

Lihatlah betapa sempurnanya Allah menyusun segala jenis peredaran di dunia ini. Edaran cakerawala, edaran orbit, pergerakan bintang-bintang, kitaran air, peredaran darah, kitaran tumbuh-tumbuhan kitaran ekosistem dan banyak lagi sistem.

Tetapi kita tidak percaya kepada Peraturan Islam yang Allah susunkan untuk manusia?

Hairan. Hairan.

LaranganNya, semua membawa buruk. SuruhanNya, semua membawa baik

Kalau kita kaji dengan lebih dalam, dan melihat dengan lebih teliti, segala perkara yang Allah suruh kita lakukan akan mendatangkan kebaikan semula kepada diri kita. Kepada manusia kembali.

Allah melarang arak, kita tahu betapa buruknya arak. Kita tahu betapa kemabukan boleh membawa 1001 masalah. Ketagihan arak boleh membawa kepada keruntuhan moral dan jatuhnya taraf kerja. Jika ini bukan satu kenyataan, maka Amerika satu waktu dahulu takkan menggadaikan ratusan billion hanya untuk membasmi masalah ketagihan arak!

Allah melarang mendekati zina, Allah melarang berpakaian tidak menutup aurat, Allah menyuruh kita menjaga batas pegaulan. Hari ini orang bising fasal kes buang bayi, kes rogol, kes anak luar nikah. Tidakkah kita melihat bahawa Allah telah melarang punca kepada semua masalah tadi dari awal lagi?

Allah melarang kita berakhlak buruk kepada sesiapa, Allah haramkan kita mencaci maki, Allah haramkan kita umpat mengumpat keji. Saya yakin tiada siapa gemar dikutuk sesiapa. Saya yakin tiada siapa suka akan pergaduhan yang akhirnya mungkin mengorbankan nyawa dan menghancurkan suasana harmoni. Bukankah Allah telah melarang?

Semua yang Allah larang, perkara-perkara itu membawa keburukan yang kita sendiri tidak suka. Tetapi apakah kita meninggalkan semua larangan Allah? Dan tidakkah kita lihat, dengan patuh kepada Allah, itu dengan sendirinya membawa kebaikan yang bukan sedikit kepada kita?

Hatta dalam perkara seperti solat, yang kelihatannya seakan manfaatnya adalah kepada Allah kerana kita membesarkanNya, hakikatnya bukan untuk Allah kerana Allah tetap Maha Besar tanpa solat kita. Tetapi kerana Allah faham manusia itu memerlukan pergantungan, maka pergantungan terhebat adalah kepada Tuan Punya Alam, Tuan Punya Bencana, Tuan Punya Masalah. Bukankah begitu? Dengan solat, hati kita rasa tenang dan tenteram. Rasa terjaga dan diperhatikan. Rasa punya kekuatan.

Bukankah begitu? Akhirnya manfaatnya kepada siapa?

Kepada kita bukan?

Kalaulah Alam ini gagal menurut kehendakNya

Bayangkan ya, bumi tidak mahu mengikut peraturan Allah SWT untuk menjaga jaraknya dengan Matahari, atau bergerak beredar di atas orbit yang ditetapkan. Apakah akan terjadi kepadanya?

Bayangkan ya, kalau air berkeras untuk tidak berkitar sebagaimana kitarannya hari ini. Apakah akan terjadi agaknya ya?

Bayangkan ya, kalau gunung ganang tidak patuh pada Allah untuk mencengkam bumi sebaik-baiknya. Apakah akan terjadi agaknya ya?

Bayangkan, matahari tidak patuh kepada Allah untuk berputar hanya pada tempatnya sahaja. Bagaimana agaknya kalau matahari itu bergerak jauh sedikit dari posisinya? Bagaimana agaknya ya?

Bukankah jawapan kepada semua soalan ini hanya satu?

KEHANCURAN.

Tidakkah kita memerhatikan?

Dan ini telah dibuktikan oleh tangan-tangan manusia sendiri. Apabila dengan tangan yang rakus itu manusia menarah gunung-gunung, menambak lautan, membunuh banyak haiwan dan tumbuhan, menggunakan bahan-bahan kimia yang tidak sepatutnya, lihatlah apa yang terjadi kepada dunia?

Bukankah kucar kacir? Ekosistem terganggu. Dan manusia terpaksa menghabiskan berbillion ringgit untuk menyelamatkan keadaan. Sedangkan Allah telah menyediakan semuanya dalam keadaan sempurna, tanpa memerlukan sesen pun duit manusia sebelum ini.

Itulah dia apabila kita memaksa alam untuk tidak patuh kepada Allah SWT.

Alam ini rosak.

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” Surah Ar-Rum ayat 41.

Dan bagaimana pula manusia yang tidak patuh kepada perintah Allah SWT untuk menyerahkan diri di dalam Islam sepenuhnya?

Tidakkah kita ini memerhatikan?

Penutup: Hairan. Memang menghairankan

Maka sepatutnya kita yang telah terdedah dengan bukti-bukti betapa Allah itu Maha Sempurna AturanNya, Maha Kemas AcuanNya, percaya sepenuhnya dengan apa sahaja yang Dia arahkan kepada kita. Taat sepenuhnya kepada apa yang Dia suruh, tinggal sepenuhnya apa yang telah Dia larang.

Jelas pada kita bahawa, melakukan apa yang Dia larang hanya akan membawa kecelakaan kepada kita.

Tidakkah kita memerhatikan? Sepatutnya pemandangan kita kepada apa yang berlaku kepada alam dan keadaan sosial dunia hari ini sudah cukup untuk membuatkan kita kembali kepada Allah SWT.

Amat menghairankan, apabila kita percaya bahawa 21% oksigen adalah aturan yang just nice untuk membolehkan seluruh bumi ini hidup dengan baik, dan pencipta aturan yang just nice itu adalah Allah, kemudian kita mempersoalkan pula apakah menutup aurat, menjaga pergaulan, jalankan sistem Islam, itu semua membawa kemunduran dan keburukan serta sebagainya.

Bagaimana?
Hairan bukan?
Cuba tanya diri sendiri akan hal ini.
Kalau kita benar-benar orang yang memerhati.

post by: http://ms.langitilahi.com/

Ulasan

Abd Razak berkata…
Salam ya ukhti..

Moga sentiasa dalam rahmat~Nya serta beroleh kesihatan yang berpanjangan..

Sungguh hairan..! Semuanya kerana kebanyakan dari kalangan manusia itu tidak dapat mendidik dan mengawal nafsunya dengan sempurna, lalu ia dikuasai oleh nafsunya dan sering melanggar perintah Allah SWT..

Hanya dengan menuruti perintah Allah dan meninggalkan segala larangan~Nya nafsu itu boleh kawal dengan sempurna.

Wallahu'alam
♥ Ahlia Iman ♥ berkata…
~ Abd Razak ~

Wa'alaikummussalam,
Ameen alhamdulillah..

Benar ya akhi, diri manusia itu sendiri telah dibelenggu oleh nafsu dan dosa..lemahnya iman, kalau kita tidak usaha dan terus berusaha utk capai hakikat sebenar manusia diciptakan didunia ini..mudah-mudahan kita menjadi hamba ALLAH yg berfikir, melihat dan taat pd perintahNya, meninggalkan laranganNya, seterusnya mengamalkan sunnah Rasulullah S.A.W dlm kehidupan..
I
Al - Mu'allim berkata…
Salam 'alaik

kalau semua manusia boleh berfikir sebegini, pasti aman dunia ini. Adapun mereka yang berada dalam kesesatan itu perlu selalu diperingatkan.

Moga ustzh tidak jemu dalam menasihati ummah
♥ Ahlia Iman ♥ berkata…
~ Al-Mu'allim ~

Wa'alaikummussalam...

Insya'ALLAH, kita sama2 doakan utk umat seluruh alam agar kembali kpd ketaatan dan beriman dgn iman yg penuh yakin terhadap segala janji2 ALLAH..sebagaimana iman para sahabat dahulu yg amat yakin akan janji2 ALLAH..hidup mereka hanyalah menyukakan ALLAH dan RasulNya..mrk bantu agama ALLAH, maka ALLAH telah bantu mereka dgn menjanjikan syurga sbg balasan..di dunia lg ALLAH telah redha mereka, apatah lg di akhirat kelak, kerana itulah ALLAH telah memberikan gelaran radiyallahu'anhu/ha bt mrk tanda ALLAH telah redha mrk didunia ini lg..Allahu Akbar! manisnya iman mereka, inilah yg harus kita usahakan lg dan lg agar iman kita persisnya iman para sahabat..Insya'ALLAH
wanshah berkata…
Assalamualaikum aisyahumaira,
tenang rasa baca entry ni. sajak ke nih?.. semoga kita sentiasa dibawah lindungan rahmat Allah s.w.t. tanpa rahmat Allah, buat la banyak mana sekalipun pahala. belum tentu kita dapat cium bau syurga. InsyAllah semoga Allah sentiasa merahmati kita dan keturunan kita. aminn..
♥ Ahlia Iman ♥ berkata…
~ Wanshah ~

Wa'alaikummussalam..

Pada pandangan peribadi saya, ia bukanlah sajak..
Insya'ALLAH, itulah yg sentiasa diingini setiap hamba ALLAH yg beriman..semoga rahmat ALLAH sentiasa kita perolehi..sama2 doakan
Jazakallah atas komen dr En.Wanshah..
Asyi@asyar berkata…
cari sakinah kt cni.. sedap sgt :)
utk akk selamat berjuangan.. insyaALLAH fi amanillah aminnn