PERKARA ASAS YANG MEMBATALKAN PUASA



بسم الله الرّحمن الرّحيم
Allahumma sholli ‘alaa sayyidina Muhammad, wa ‘alaa aalihi wa shohbihi ajma’iin…
السّلام عليكم ورحمة الله وبركاته



PERKARA ASAS YANG MEMBATALKAN PUASA IALAH:

Sebagaimana yang disepakati (Ittifaq) ulama' berdasarkan kepada nas al-Quran, hadis dan ijma’ ialah empat perkara;

1) Makan.

2) Minum.

3) Jima’. Dalilnya ialah firman Allah swt yang bermaksud: “...Maka sekarang campurilah mereka (isteri kamu) dan ikutilah apa yang telah ditetapkan Allah untukmu, dan makan minumlah hingga terang bagimu benang putih dari benang hitam, yaitu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sampai (datang) malam...”. [Al-Baqarah:187]

4) Haid dan Nifas. Dalilnya hadis Abu Said al-Khudri yang bermaksud: Sabda Rasulullah saw: “Bukankah perempuan itu apabila mereka haid, tidak bersolat dan tidak berpuasa…”. [Bukhari: 304, Muslim: 79]

Antara perkara yang membatalkan puasa lagi (menurut mazhab asy-syafie) ialah:

5) Sampai sesuatu (‘ain) ke dalam rongga (al-Jauf) melalui liang yang terbuka.

  • Maksud ‘ain ialah sesuatu yang dapat dilihat oleh mata.
  • Maksud al-Jauf ialah otak ataupun apa yang berada di antara bawah halkum hingga ke perut.
  • Maksud liang terbuka ialah; mulut, telinga, qubul dan dubur, samada lelaki atau perempuan.
  • Oleh itu setitik air yang masuk melalui telinga membatalkan puasa kerana ia adalah liang yang terbuka. Tetapi setitik air yang masuk ke dalam mata TIDAK membatalkan puasa kerana ia adalah liang yang tidak terbuka.
  • Suntikan di lubang dubur membatal-kan puasa kerana ia adalah liang yang terbuka. Suntikan pada urat TIDAK membatalkan puasa kerana urat adalah liang yang tidak terbuka. Begitulah seterusnya.
  • Semuanya ini disyaratkan dilakukan dengan sengaja, qiyas kepada makan dan minum.
  • Sekiranya lalat atau nyamuk, atau debu jalan masuk ke dalam al-Jauf, maka puasa TIDAK batal. Ini kerana untuk menghindarinya adalah tersangat susah (masyaqqah). Begitu juga dengan menelan air liur. Tetapi jika ia menelan air liur yang bernajis seperti gusi yang luka, walaupun air liur itu jernih dan dia tidak membersihkan mulutnya, maka puasanya batal.
  • Sekiranya dia berkumur atau memasukkan air ke dalam hidung dan air itu termasuk ke dalam jauf-nya maka ia tidak batal, kecuali ia melampau.
  • Sekiranya terdapat sisa makanan dicelah-celah giginya lalu ia digerakkan oleh air liurnya tanpa sengaja lalu masuk ke dalam perutnya, maka puasanya TIDAK batal.
  • Sekiranya ia dipaksa untuk makan atau minum, puasanya juga TIDAK batal.

6) Muntah dengan sengaja.
Muntah yang disengajakan membatalkan puasa seseorang, sekalipun dia pasti tiada apa-apa daripada muntahan tersebut masuk semula ke dalam perutnya. Akan tetapi, puasa tidak batal sekiranya tiada upaya menahan muntahnya.

7) Mengeluarkan mani.
Air mani keluar samada dengan perbuatan berkucup dan seumpamanya atau dengan tangan (onani). Apabila seseorang berbuat demikian dengan sengaja puasanya batal. Jika tidak disengajakan dan tidak dapat menahan maninya keluar puasanya tidak batal.

8) Gila dan Murtad (wal’iyazubillah)
Kedua-dua perkara tersebut juga menghalang daripada puasa. Ini kerana orang yang berpuasa dalam keadaan itu telah terkeluar daripada kelayakan beribadat. [Lihat: Al-Fiqh al-Manhaji]

Untuk mengetahui fatwa semasa mengenai perkara ini, di bawah ini dikemukakan Keputusan Persidangan Fiqh Antarabangsa (al-Majma’ al-Fiqhi al-Islami) [No. 93 (1/10) pada 23-28 Safar tahun 1418H bersamaan 28 Jun – 3 Julai 1997] Mengenai Perkara-perkara Yang Tidak Membatalkan Puasa.

A- Keputusannya (Qarar) Seperti Berikut:

  1. Ubat titis mata, titis telinga dan basuh telinga. Ubat titis hidung atau semburan hidung, dengan syarat tidak menelan apa yang sampai ke halkum.
  2. Ubat tablet bawah lidah yang digunakan oleh pesakit Angina (Jantung) dengan syarat tidak menelan apa yang sampai ke halkum.
  3. Memasukkan ubat melalui faraj, memasukan alat perubatan, membasuh, spekulum dan jari doktor atau bidan semasa pemeriksaan vagina (sebelum bersalin).
  4. Memasukkan teropong ke dalam salur peranakan/rahim atau alat kedalamnya.(Contoh:alat pencegah kehamilan - IUCD)
  5. Memasukkan teropong ke salur kencing lelaki atau perempuan untuk penyediaan x-ray atau lainnya.
  6. Menampal, mencabut, mengorek dan mencuci gigi atau menggunakan alatan dan berus gigi, dengan syarat TIADA apa-apa bahan yang memasuki perut dari prosedur tersebut.
  7. Membasuh mulut, berkumur atau semburan mulut, dengan syarat tiada bahan masuk kedalam perut. dengan syarat tidak menelan apa yang sampai ke halkum.
  8. Suntikan melalui kulit, otot, sendi atau pembuluh darah, KECUALI memberi makanan melalui pembuluh darah (seperti: glukos yang mengenyangkan).
  9. Oksigen dan Gas Bius.
  10. Bius menggunakan gas, bukan menggunakan cecair yang mengenyangkan.
  11. Semua jenis bahan yang boleh menyerap ke dalam badan melalui kulit seperti krim, jelly atau plaster berubat.
  12. Sesalur dan bahan perantara untuk arteriografi (pemeriksaan x-ray khas jantung) atau organ lain.
  13. Teropong dalam rongga perut (endiskopi) untuk mencari punca penyakit.
  14. Mengambil tisu (biopsi) hati atau organ lain untuk ujian makmal.
  15. Teropong perut, dengan syarat tidak memasukkan apa-apa bahan cecair atau bahan seumpamanya.
  16. Memasukkan ubat atau alat ke dalam otak.
  17. Muntah secara tidak sengaja.


B- Jika tidak memberi mudarat, para doktor muslim hendaklah menasihati pesakit untuk menangguhkan dulu rawatan yang meragui sehingga selesai puasa.

Tambahan dari Keputusan “Seminar Fiqh Perubatan ke 9 yang diadakan di Casablanca, Morroco, 8-11 Safar 1418/14-17 Jun 1997. Pendapat majoriti peserta menambah perkara berikut juga TIDAK MEMBATALKAN PUASA:

  1. Suntikan ke dalam dubur, teropong dan pemeriksaan digital ke dalam dubur.
  2. Pembedahan yeng melibatkan bius sepenuhnya jika pesakit mengambil keputusan (berniat) untuk berpuasa pada malamnya.
  3. Mesin atau dialisis buah pinggang melalui perut. TAMAT.


Penutup: Akhirnya, sentiasalah menjaga kesempurnaan ibadat puasa dari perkara-perkara yang membatal dan merosakkan amalan yang suci ini, semoga amalan kita diterima oleh Allah.

Catatan : Al-Faqir IlaLlah Abu Anas MAdani
via : Sahabat Abd Razak


ALHAMDULILLAH 'ala kulli hal wa ni'mah...:)
Moga Allah kasih semua, aamiin

Ulasan

Abd Razak berkata…
السلم عليكم ورحمة الله

Moga sahabat sentiasa diberkati dan dirahmati Allah SWT...aamiin

Allahu Akhbar...terima kasih kerana memanjangkan ilmu ini dan moga ianya mendatangkan manfaat yang banyak buat semua..:)

Ya Allah, terimalah ibadah kami di bulan yang penuh barakah ini serta Engkau ampunkan segala dosa kami...aamiin
Unknown berkata…
Salam ziarah kak. Terima kasih atas perkongsian yang sangat-sangat baik ini. Juga terima kasih kepada ustaz razak. Lama betul tidak ke laman akak, juga ke laman beliau :(
AZLA berkata…
asalamu alaikum...
salam kenal dan silaturahim sesama islam...
senang sekali berjumpa blog ini, banyak pengetahuan yg saya dapat, saya menyukai dan follow 61
untuk persahabatan kita, sudilah kiranya follow balik
ditunggu
salam ramadlon
terima kasih
wasalam............