Mengapakah tertolaknya Do'a?


بسم الله الرحمن الرحيم

Salam serta selawat kepada junjungan Nabi S.A.W, Rasul pilihan yang menjadi kekasih-Nya, salam serta doa keselamatan juga terlimpah buat keluarga Baginda, para sahabat 'khairul qurun' serta seluruh umat Baginda yang setia berkomitmen, menggenggam setia sunnah-sunnah Rasulnya sehingga akhir zaman.


السلام عليكم ورحمة الله وبركاته



Di bawakan pendapat seorang ahli tasawuf besar, yang kenamaan dan termasyhur dimana-mana, iaitu Ibrahim bin A'dham bin Mansur, wafat tahun 661 Hijrah, tentang sebab-sebab yang membikin hati menjadi buta, sehingga tidak ada hubungan dengan ALLAH dan oleh kerananya, doanya tidak diterima.

Ketika Ibrahim bin Ad'ham berada di pasar Basrah, telah dikerumuni beliau oleh orang ramai, diantaranya ada yang bertanya, " Ya Aba Ishak! gelaran bagi Ibrahim bin Ad'ham, mengapakah kami memohon doa kepada ALLAH, tetapi tidak dikabulkan doa kami?". Ibrahim bin Ad'ham menjawab: " Kerana hati kamu telah mati disebabkan sepuluh perkara:

Kata Ibrahim bin Ad'ham:

  1. Kamu mengenal ALLAH, tetapi kamu tidak tunaikan hak-hakNya.
  2. Kamu mengaku bahawa kamu cinta kepada Rasulullah SAW, tetapi kamu tinggalkan sunnahnya.
  3. Kamu telah membaca Al-Quran tetapi kamu tidak beramal menurut Al-Quran.
  4. Kamu telah makan nikmat-nikmat ALLAH, tetapi kamu tidak tunaikan syukurnya.
  5. Kamu telah berkata, bahawa syaitan itu musuh kamu, tetapi kamu tidak menentangnya.
  6. Kamu telah berkata syurga itu benar adanya, tetapi kamu tidak beramal untuknya.
  7. Kamu telah berkata bahawa neraka itu benar adanya tetapi kamu tidak lari darinya.
  8. Kamu telah berkata mati itu benar adanya, tetapi kamu tidak bersedia baginya.
  9. Kamu bangun dari tidur lalu ceritakan keaiban manusia, tetapi kamu lupa keaiban kamu sendiri.
  10. Kamu mengubur mayat-mayat saudara-saudara kamu, tetapi kamu tidak jadikan pelajaran bagi mereka.

Adapun susunan doa yang sebaiknya ialah sebagaimana yang diajarkan oleh ALLAH S.W.T dalam Al-Quran dan oleh Nabi S.A.W dalam hadithnya.

Diriwayatkan dari Fazilah bin Ubaid r.a ia berkata: Rasulullah S.A.W telah mendengar seorang lelaki yang sedang berdoa dalam sembahyang, padahal ia tidak memuji ALLAH dan tidak berselawat ke atas Nabi S.A.W, maka bersabda Nabi S.A.W: " Telah tergopoh-gopoh orang ini ". Lantas beliau panggil orang itu, lalu beliau bersabda: " Apabila bersembahyang salah seorang dari kamu, maka hendaklah ia mulai dengan memuji Tuhannya dan menyebut kebesaranNya, kemudian ia berselawat kepada Nabi S.A.W, kemudian boleh ia berdoa menurut apa yang ia kehendaki." ( HR Ahmad, Abu Daud, Nasai, Tirmidzi ibn Hibban dan Hakim )

Pada masa kini, amat banyak manusia tidak pandai berdoa dan kadangkala doa yang dipanjatkan dalam keadaan tidak yakin, lengah dan lalai.

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW, " Berdoalah kepada ALLAH, pada hal kamu yakin diterimanya. Dan ketahuilah, bahawasanya ALLAH tidak akan mengabulkan suatu doa dari hati orang yang lengah, yang lalai. " (HR Tirmidzi, Hakim)

Dan diantara pokok yang terpenting juga iaitu bersih diri dari yang haram kerana itulah yang diterima, sebaliknya akan ditolak.

Di riwayatkan dari Ibn Abbas ia berkata : telah dibacakan ayat ini pada Nabi S.A.W ( Hai manusia! makanlah kamu daripada yang ada dibumi, yang halal, yang baik ), lantas berdiri Saad bin Abi Waqqash lalu ia berkata; Hai Rasulullah! berdoalah kepada ALLAH supaya Ia jadikan daku orang yang diterima doanya. Maka sabda Nabi S.A.W: " Hai Saad! Buat baiklah makananmu, nescaya engkau menjadi orang yang diterima doanya. Demi ALLAH yang diri Muhammad ditanganNya, sesungguhnya seorang lelaki yang memasukkan sesuap makanan haram dalam perutnya, tidaklah ALLAH terima daripadanya (doa) selama 40 hari. Dan mana-mana hamba yang tumbuh dagingnya dari barang yang haram dan riba, maka api neraka lebih layak dengan dia. " ( HR Al-Hafidz Ibn Mardawiah )

Insya'ALLAH, marilah kita sama-sama berdoa, mudah-mudahan ALLAH meletakkan kita dalam golongan yang beradab kepada ALLAH dalam berdoa kepadaNya.

Firman ALLAH S.W.T yang mafhumnya:

" Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan dengan perlahan, kerana sesungguhnya Ia tidak suka orang-orang yang melewati batas. Dan janganlah kamu membuat kebinasaan dibumi sesudah beresnya; dan berdoalah kepadaNya dengan takut dan dengan bersungguh-sungguh, sesungguhnya rahmat ALLAH, dekat kepada orang-orang yang berbuat kebaikan. " (Surah Al-Aaraf: 55-56). 

sumber: Buku Doa dan Zikir Rasulullah S.A.W




Wallahu'alam

Ulasan