Dikuasakan oleh Blogger.

SOAL JAWAB ZAKAT FITRAH

>> Jumaat, Ogos 27, 2010




1. Apakah pengertian Zakat Fitrah?

Zakat fitrah ialah zakat diri yang diwajibkan ke atas setiap individu muslim lelaki dan perempuan yang berkemampuan dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syarak.

2. Apakah dalil zakat fitrah?

Zakat fitrah dalilnya bersandarkan kepada Hadis Nabi S.A.W. riwayat daripada yang bermaksud:

"Rasulullah S.A.W. telah memfardukan zakat fitrah pada bulan Ramadan ke atas manusia dengan mengeluarkan satu gantang kurma atau satu gantang gandum (syair) ke atas setiap orang merdeka atau hamba lelaki atau perempuan orang tua atau kanak-kanak yang terdiri daripada orang Islam." (Riwayat Al-Bukhari)

3. Adakah wajib berniat untuk membayar zakat fitrah untuk diri sendiri atau sebagai wakil?

Setiap pembayar zakat atau wakilnya wajib berniat mengeluarkan zakat fitrah untuk diri dan tanggunggannya atau sebagai wakil.

4. Apakah syarat-syarat wajib mengeluarkan zakat fitrah?

Syarat-syaratnya ialah:

i) Individu yang mempunyai lebihan makanan atau hartanya dari keperluan diri dan tanggungannya pada satu Syawal.

ii) Anak yang lahir sebelum (uruf) matahari akhir bulan Ramadan dan hidup selepas terbenam matahari Ramadan.

iii) Seseorang yang meninggal dunia selepas terbenamnya matahari akhir Ramadan.

Menganut Islam sebelum terbenam matahari pada akhir bulan Ramadan dan berkekalan Islamnya sehingga awal Syawal.

5. Berapakah kadar pembayaran zakat fitrah?

Kadar zakat fitrah ialah satu gantang Baghdad bersamaan 2.70 kg beras atau senilai dengannya. Kadar ini berdasarkan ketentuan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri.

6. Bilakah waktu pembayaran zakat fitrah?

Waktu mengeluarkan zakat fitrah terbahagi kepada 5:

(i) Waktu wajib : Akhir Ramadan sehingga terbit matahari.

(ii) Waktu afdal : Bermula terbit fajar subuh sehingga sebelum solat hari raya

(iii) Waktu sunat : Sepanjang bulan Ramadan

(iv) Waktu makruh : Selepas solat hari raya sehingga terbenam matahari pada satu Syawal.

(v) Waktu haram : Selepas (uruf) matahari satu Syawal tetapi tetap wajib membayar zakat fitrahnya. Jika lebih lama tidak dibayar lebih besar dosanya.

7. Bagaimanakah kaedah pembayaran zakat fitrah?

Kaedah pembayaran zakat fitrah yang ditentukan ialah makanan asasi daripada jenis yang mengenyangkan (beras) atau yang senilai dengannya.

Ini adalah berdasarkan Hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Abu Said Al-Khudry yang bermaksud:

".... adalah kami para sahabat ketika bersama Rasulullah S.A.W. sering mengeluarkan zakat fitrah daripada setiap seorang yang kecil dan besar, merdeka atau hamba satu gantang makanan atau satu gantang keju atau satu gantang syair, tamar atau satu gantang zabib. Demikianlah kami terus berbuat demikian sehingga datang kepada kami oleh Muawiyah bin Abi Sufian bagi mengerjakan amal ibadah haji atau umrah, kemudian beliau menyampaikan ucapannya di atas mimbar, maka dalam ucapannya kepada orang ramai beliau berkata: saya berpendapat, bahawa dua mud (cupak) gandum Sham menyamai satu Sha' (gantang) tamar. Setelah itu, masyarakat pun berbuat demikian sedangkan Abu Said berkata: aku tetap mengeluarkannya sebagaimana mulanya". (Riwayat Muslim)

8. Adakah harus membayar zakat fitrah melalui kaedah selain melalui amil yang dilantik seperti perbankan internet, SMS, pos dan lain-lain?

Harus tetapi wajib niat untuk membayar zakat fitrah untuk dirinya dan keluarganya.

9. Seorang isteri sarat mengandung 9 bulan. Sehingga habis Ramadan anaknya belum lahir kandungannya lagi, adakah wajib zakat fitrah ke atas anak dalam kandungan itu?

Tidak wajib kepada anaknya kerana syarat wajib zakat fitrah mesti seseorang Islam itu hidup sebahagian Ramadan dan sebahagian Syawal.

10. Adakah wajib zakat fitrah bagi seseorang yang meninggal sebelum terbenam matahari akhir Ramadan?

Tidak wajib kerana syarat wajib zakat fitrah mesti seseorang Islam itu hidup sebahagian Ramadan dan sebahagian Syawal.

11. Saya mempunyai seorang bapa yang susah (miskin) dan telah berkahwin dengan seorang wanita lain yang mempunyai anak-anak. Ibu tiri saya ini juga seorang yang susah. Soalan saya, adakah saya wajib membayar zakat fitrah untuk ayah saya, ibu tiri dan adik-adik tiri saya?

Anda wajib tunaikan zakat fitrah untuk ayah anda sahaja kerana beliau merupakan tanggungan anda. Manakala, ibu tiri dan adik-adik tiri anda pula adalah di bawah tanggungan ayah anda. Oleh itu anda tidak wajib membayar zakat bagi pihak mereka.

12. Suami saya sedang bertugas di luar negara, bagaimana caranya jika beliau ingin membayar zakat fitrah bagi tanggungannya, iaitu saya dan anak-anak? Adakah perlu suami membayar di luar negara, iaitu tempat beliau bertugas sekarang atau adakah perlu saya mewakilkan abang kandung saya untuk membayar zakat fitrah bagi pihak suami?

Suami anda dan anda boleh mewakilkan kepada sesiapa sahaja yang berada di kariah anda dan tanggungan suami.

13. Apakah hukum seseorang yang terlupa membayar zakat fitrah? Apakah yang perlu dilakukan bagi menebus kelalaian tersebut?

Haram melengahkan pembayaran zakat fitrah sama ada sengaja atau terlupa sehingga terbenam matahari satu syawal. Sekalipun demikian anda tetap wajib qada bayar zakat fitrah tersebut.

Rasulullah SAW dalam sabdanya riwayat daripada yang bermaksud:

"Zakat fitrah itu tunaikan bagi membersihkan orang yang berpuasa daripada percakapan yang sia-sia dan kotor dan makanan bagi orang miskin. Sesiapa yang menunaikannya sebelum solat 'Eidilfitri, maka itulah zakat yang diterima. Dan sesiapa yang membayar zakatnya sesudah solat, maka itu adalah sedekah biasa saja." (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

14. Adakah asnaf fakir dan miskin yang menerima bantuan LZS wajib membayar zakat fitrah?

Ya, wajib bayar sekiranya cukup syarat.

15. Adakah amil boleh menerima bayaran zakat fitrah dalam bentuk beras?

Ya, wajib terima.

http://www.e-zakat.com.my/
link: http://ustaznaim.blogspot.com/

Catat Ulasan

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Sahabat filah yang dikasihi ALLAh..

Lewat laman ini pasti dan pasti terdapat banyak kekurangan dan kesilapan yang tentu saja disebabkan kerana kedhaifan ana sebagai penulis.

Maka, kupinta ditegur sapa dan nasihat ikhlas sentiasa terbuka, demi wujudnya islah antara kita..in shaa ALLAH

Jazaakumullahu khairan wa ahsanal jaza' atas kunjungan hati :)

♥ Salam ukhuwahfillah, barakallahu fikum ♥

♥ Malik Bin Dinar ♥

Sebaik-baik contoh dalam dakwah islamiyyah ialah Rasulullah SAW. Sebarang usaha yang tidak mencontohi usaha dan cara Baginda SAW, kebiasaannya akan menemui kekecewaan dan kegagalan. Pendakwah hendaklah banyak mendampingi sirah Rasulullah SAW dan menjadikan Baginda sebagai Qudwah (ikutan). Dakwah Rasulullah SAW mengajak kepada Aqidah dan Iman dahulu dari yang lain.

Daie (pendakwah) hendaklah memperingati diri sendiri sebelum memperingati orang lain. Memperbaiki diri sendiri sebelum memperbaiki orang lain. Jika daie beramal dengan apa yang diperkatakannya nescaya memberi kesan kepada hati pendengar, jika tidak apa yang diperkatakannya hanya mampu sampai ketelinga sahaja. Demikianlah pandangan Malik Bin Dinar.

♥ Ummatan Wahidah ♥

Selagi kita mengaku ALLAH yang satu, selagi itulah pasti ada jalan untuk bersatu. Sesama muslim kita umpama dua telapak tangan, dengan dipertemukan, terhasillah persaudaraan.

Tangan kanan kotor, tangan kiri juga kotor, namun dengan interaksi yag harmoni berasaskan kelembutan dan kejujuran, kita akan saling membersihkan.

Jangan ada benci. Jangan dibauri kelicikan strategi yang penuh prasangka dan tipu daya... kedua tangan akan terus bercakaran. Keduanya akan saling melukakan.

Hidup hanya sementara... sampai bila kita akan bersengketa? Percayalah apabila berada di ambang kematian... kita akan jadi rindu untuk meminta maaf dan memaafkan.

- Ustaz Pahrol Mohamad Joui -

♥ Dr 'Aidh al-Qarni ♥

Syurga itu sgt mahal harganya, jangan terlalai dalam kesenangan atau semakin jauh dari ALLAH kerana kejahilan dan kesombongan.

Bermujahadahlah dengan sungguh sungguh...telanlah kepahitan mujahadah utk menikmati kelazatan ibadah..apatah lagi tawarannya adalah syurga ALLAH. Nafsu kita ini...ya..nafsu inilah yg harus kita didik dengan taqwa, jernihkan dgn ibadah yang ikhlas...sucikan dengan memohon langsung kepada ALLAH.

Memang benar...kalau kita berlonggar sangat dengan nafsu...lemah mujahadah..akhirnya kita menjadi tawanan nafsu. Hubungan dengan ALLAH terasa tawar...solat tapi rasa jauh, quran pun sudah tak tercapai dek tangan..dengan dosa terasa biasa. Justeru...isytiharkan Jihad!..dgn nafsu, dgn bisikan syaitan dari kalangan jin dan manusia...supaya kita kuat untuk menyebarkan kebaikan dan kesejahteraan pada yang lain dengan izin ALLAH.

~ Indahnya Syurga ~

  © Blogger template Snowy Winter by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP