PENYESALAN YANG TERLEWAT

Sesal Seorang Ibu

Suatu hari seorang alim yang sangat bertaqwa kepada ALLAH S.W.T sangat berhajat ingin menunaikan ibadah haji ke Tanah Suci. Waktu dia meminta izin kepada ibunya, ternyata ibunya itu sangat keberatan. Menurut ibunya, supaya ditunda dahulu keberangkatanmu sampai tahun depan. Ia merasa bimbang terhadap keselamatan anaknya, kerana orang alim itu adalah satu-satunya anak tunggalnya dari hasil perkahwinan dengan almarhum suaminya.
Rupanya orang alim yang soleh itu sudah tidak dapat menahan keinginannya untuk menunaikan rukun islam yang kelima itu. Maka, walaupun tidak mendapat restu dari ibunya, dia berkemas-kemas juga, lalu berangkat menuju ke Tanah Suci. Jelas keputusannya ini bertentangan dengan ajaran Nabi. Kerana redha ALLAH bergantung kepada redha orang tua, begitu pula murka ALLAH terletak dalam murka orang tua.
Ketika menyaksikan anaknya yang pergi juga, ibu yang sudah tua itu tergopoh-gapah mengejar anaknya. Akan tetapi anaknya itu sudah terlalu jauh. Dia tidak mendengar suara ibunya yang memanggil-manggil namanya sambil berlari-lari itu. Dalam keadaan marahnya seorang ibu yang sangat cinta kepada anaknya tersebut menadahkan kedua tangannya lalu berdoa: " Ya ALLAH, anakku satu-satunya telah membakar diriku dengan panasnya api perpisahan. Kumohon pada-Mu, balaslah dia dengan seksaan yang setimpal. Sebagai ibunya, aku merasa sangat sakit hati, ya ALLAH."
Doa ini jelas tidak pada tempatnya bagi seorang ibu yang seharusnya bijaksana. Sebab di antara doa-doa yang dikabulkan adalah doa seorang ibu terhadap anaknya. Bumi seolah-olah bergoyang mendengar doa ini. Namun orang alim tadi terus juga berjalan. Di sebuah kota kecil sebelum sampai tempat tujuannya, orang alim itu berhenti melepaskan lelah. Menjelang maghrib dia berangkat ke masjid dan solat sampai isyak. Sesudah itu ia terus mengerjakan solat-solat sunat dan wirid hingga jauh malam.
Secara kebetulan di sudut kota yang lain, pada malam itu terjadi peristiwa yang menggemparkan. Ada seorang pencuri yang masuk ke dalam rumah salah seorang penduduk. Tiba-tiba pencuri itu terjatuh kerana terlanggar sesuatu. Tuan rumah terjaga dan bersuara, ketika terdengar bunyi sesuatu yang jatuh itu, maka tuan rumah pun memekik-mekik sambil berkata: " pencuri!pencuri!."
Seisi kampung terjaga semuanya. Dengan ketakutan pencuri itu lari sekuat tenaga. Orang-orang kampung terus mengejarnya. Pencuri itu lari kearah masjid dan masuk ke halaman masjid tersebut. Orang-orang pun mengejarnya kesana. Ternyata pencuri itu tidak diketemukan disekitar masjid itu.

Salah seorang di antara mereka memberitahu kepada pemimpinnya: " Kita sudah mencari disekeliling masjid, namun tidak ada bekas-bekasnya sedikitpun."
Yang lainnya pula berkata: " Tidak mungkin dia telah ditelan bumi, aku yakin dia belum lari dari sini. Kalau di luar masjid tidak ada, mari kita cari dalam masjid pula. Berkemungkinan dia bersembunyi di situ."
Maka orang-orang pun masuk ke dalam masjid. Ternyata betul, di dekat mimbar ada seorang asing sedang duduk berzikir. Tanpa bertanya dan tanpa usul periksa orang alim itu ditarik keluar. Tiba di halaman masjid, orang alim tadi sudah terkulai pengsan kerana dipukul oleh orang ramai.
Hakim di kota itu telah memutuskan suatu hukuman yang berat kepadanya atas desakan masyarakatnya yang sedang marah. Maka orang alim tersebut diikat pada tiang dan dicambuk badannya.

Keputusan dari hakim itu juga jelas menyalahi ajaran Nabi kerana mengadili tanpa usul periksa. Seorang hakim seharusnya menyelidiki sehingga ke akar umbi sebelum memutuskan sesuatu hukuman ke atas seseorang dengan seadil-adilnya. Keputusan yang dilakukannya adalah hanya berdasarkan hawa nafsu semata-mata.

Pagi-pagi lagi seluruh penduduk kota itu sudah berkumpul di pasar bagi menyaksikan berjalannya hukuman qishash itu. Hukuman telah dijalankan keatas orang alim itu. Orang-orang pun bersorak-sorak melihat si alim itu dicambuk hingga pengsan. Darah telah mengalir keluar dengan banyaknya dan sehingga memercik kesana kemari. Orang-orang kelihatan semakin puas dengan hukuman itu.

Semakin siang, semakin ramai orang kampung datang berkumpul dan menontonnya di khalayak ramai serta meludahi si alim tersebut. Dalam kesakitan, orang alim yang dihukum sebagai pencuri itu mendengar salah seorang penduduk yang berkata: " Inilah hukuman yang setimpal bagi seorang pencuri yang bersembunyi di dalam masjid!" sambil meludahi si alim tersebut. Berkata si alim tersebut dengan suara yang tersekat-sekat membuka mulutnya berkata: " Tolonglah jangan berkata demikian, lebih baik katakan pada orang ramai bahawa saya ini adalah hamba ALLAH yang ingin mengerjakan ibadah haji tetapi tidak mendapat restu dari orang tua."

Mendengar ucapannya itu, orang ramai terkejut dan menanyakan siapakah dia sebenarnya. Orang alim itu membuka rahsianya dan masyarakat menjadi serba salah dan merasa berdosa diatas kekejaman mereka. Akhirnya mereka memberitahukan hal itu kepada hakim.

Setelah hakim itu datang dan tahu perkara yang sebenarnya, maka mereka semua menyesalinya. Mereka kenal akan nama orang alim itu, iaitu orang yang soleh dan ahli ibadah. Cuma mereka tidak kenal akan rupa paras orang alim tersebut. Ibu-ibu yang hadir dan orang-orang kampung yang berada disitu merasa sangat sedih atas perkara yang telah berlaku. Mereka semua telah memohon maaf dari kesilapan yang telah mereka lakukan pada orang alim tersebut.
Malamnya, atas permintaan orang alim tersebut, meminta dia dihantarkan pulang ke rumah ibunya. Pada waktu orang alim itu akan dihantar, ibunya telah berdoa: " Ya ALLAH, jika anakku itu sudah mendapatkan balasannya, maka kembalikanlah dia kepadaku agar aku dapat melihatnya."
Begitu selesai doa si ibu, orang yang membawa anaknya sampai. Orang alim itu didudukkan di depan pintu rumah ibunya. Setelah itu orang-orang yang menghantarkannya telah beredar pergi meninggalkan si alim tersebut. Sesudah keadaan sunyi kembali, tidak ada orang lain, maka orang alim itu pun berseru dengan suara yang pilu: " Assalamualaikum."
Maka terdengarlah suara ibunya menjawab salamnya dari dalam. Bergetar hati si alim mendengar suara itu: " Saya adalah musafir yang terlantar. Tolong beri saya roti dan air sejuk, " kata orang alim itu menyamar diri.
Mendekatlah engkau ke pintu. Hulurkanlah tanganmu melalui celah pintu ini, " jawab suara ibunya dari dalam.
" Maaf, saya tidak boleh mendekati pintu kerana kedua kaki saya sangat kaku dan saya juga tidak dapat menghulurkan tangan melalui celah pintu, kerana tangan saya terasa sangat letih."
" Jadi bagaimana caranya?" Si ibu mengeluh kehilangan akal. " Antara kita ada pemisah yang tidak boleh dilanggar. Engkau lelaki yang saya tidak kenal dan saya, walaupun sudah tua adalah seorang perempuan."
" Jangan bimbang wahai puan, " kata orang alim tersebut. " Saya tidak akan membuka mata kerana kedua mata saya sangat pedih, jadi saya tidak akan dapat melihat ke arah puan."
Mendengar jawapan itu, si ibu keluar dengan membawa sepotong roti dan segelas air sejuk. Orang alim itu begitu saja merasakan kehadiran ibunya, sudah tidak mampu menahan diri. Ia memeluk kaki ibunya dan menjerit sambil menangis: " Ibu, saya adalah anak derhaka." Ibunya pun merasa terkejut dan sangat sedih. Dipandangnya orang yang cacat dimukanya itu lalu menjerit, ternyata itu adalah anaknya sendiri. Mereka berdua saling berpelukan dalam tangisan.
Ketika itu juga si ibu tersebut menadahkan tangannya memohon ampun kepada ALLAH: " Ya ALLAH, kerana telah jadi begini sungguh saya menyesal atas kemarahan saya kepada anak saya sendiri, saya bertaubat untuk tidak mengulangi lagi perkara ini, ampunilah saya ' Ya ALLAH', serta ampunilah dosa orang-orang yang menyeksanya kerana kami semua telah disesatkan oleh godaan iblis dengan nafsu kemarahan." 

sumber: Darul Nukman

Ulasan