Dikuasakan oleh Blogger.

LAILATULQADAR - GANJARAN ISTIMEWA BAGI MUJAHID

>> Rabu, Ogos 25, 2010


Alhamdulillah ALLAH telah memberi peluang kepada kita menikmati Ramadhan tahun ini, bulan keampunan, bulan rahmat dan bulan pelepasan dari neraka. Peluang hanya datang setahun sekali tahun depan kita belum pasti bertemu Ramadhan lagi. Seharusnya kita mengambil kesempatan dan peluang yang terbuka luas ini bagi merebut tawaran maha hebat yang tidak pernah ditawarkan oleh mana-mana agensi dan syarikat pasaraya di dunia ini..

Nabi Muhammad S.A.W sekembalinya dari satu peperangan, memberitau para sahabatnya bahawa mereka baru kembali dari satu peperangan yang kecil dan sedang menuju ke satu peperangan yang lebih besar dan lebih sengit. Para sahabat menjadi bingung dan tertanya-tanya adakah peperangan yang lebih hebat daripada itu. Nabi menjelaskan peperangan yang dimaksudkan yang lebih dahsyat ialah berperang degan hawa nafsu.

Berperang dengan nafsu dikatakan jihad yang lebih besar daripada peperangan dengan senjata yang boleh meragut nyawa sendiri. Bagi kebanyakan kita, perkara yang paling kita takuti ialah peperangan dengan senjata kerana kita tahu ia boleh merampas jiwa kita, anak dan keluarga serta apa-apa yang kita sayangi. Kita akan berpisah dengan dunia dan kemanisannya. Rupa-rupanya apa yang kita takuti selama ini bukanlah satu yang benar-benar harus ditakuti. Yang paling ditakuti menurut Islam ialah nafsu yang ada dalam diri kita. Dialah musuh yang paling nyata yang berada bukan di luar diri kita tetapi menjadi sebahagian daripada kita. Dia benar-benar 'musuh dalam selimut' yang boleh merosakkan diri kita bahkan lebih dahsyat menjerumuskan kita ke dalam neraka yang mana azab dan sengsaranya berkekalan dan tidak dapat digambarkan hebatnya penderitaan oleh mana-mana media di dunia ini.

Diri kita bolehlah dianggap sebagai sebuah kerajaan yang mana otak merupakan pemerintah, hati menjadi penasihat menteri atau barisan penyokong kerajaan sementara nafsu bertindak sebagai puak pembangkang yang sangat mahir berdiplomasi dan berpura-pura. Dalam menjalankan mesyuarat kabinet, perdana menteri mesti pandai membuat keputusan demi kesejahteraan negara. Beliau mesti berwibawa serta mampu mengenalpasti atau membezakan mana satu cadangan yang konstruktif dan destruktif. Peranan pembangkang perlu diawasi supaya tidak merosakkan negara keseluruhannya. Dalam usaha mempengaruhi perdana menteri supaya mengikut telunjuknya, barisan pembangkang yang diwakili oleh nafsu menjalankan pelbagai strategi kotor melalui amalan rasuah (wang dan perempuan yang sesuai dengan nafsu) dan ugutan. Jika tidak dapat dengan cara kekerasan, ia menukar taktik dengan cara berlembut. Hanya perdana menteri yang bijak saja selamat dari dakyah dan umpan beracun ini.

Dalam hubungan ini, puasa merupakan satu cara untuk menundukkan nafsu. Bagi kita, perosak terbesar ialah nafsu perut. Disebabkan nafsu inilah datuk dan nenek kita Adam dan Hawa terusir dari negara abadi ke negara yang hina dan miskin ini.

Mereka dilarang dari memakan buah khuldi tetapi malang berjaya dikalahkan oleh nafsu perut mereka lalu khuldi dimakan dan sekaligus tersingkap aurat kemaluannya. Terbukti dengan menurut nafsu perut membangkitkan nafsu-nafsu lain seperti nafsu kelamin yang dahsyat dan keras dorongannya. Kemudian diikuti dengan nafsu mencari harta, nafsu mencari pangkat, nafsu mencari kekayaan dan kesemuanya ini menimbulkan pelbagai gejala penyakit lain seperti dengki, hasad, iri hati, permusuhan dan saling membenci antara satu sama lain. Akhirnya dunia akan dipenuhi dengan pelbagai arus dan trend maksiat, kejahatan dan kemungkaran. Pucuk pangkal dari semua ini ialah menurut nafsu perut.

Setiap penyakit ada ubat. ALLAH menurunkan penyakit dan ubatnya sekali. Ubat bagi penyakit nafsu ialah berpuasa. Kenapa puasa dianggap sebagai ubat/resipe memerangi godaan nafsu? Jawapannya terkandung dalam hadith Nabi S.A.W:
"Perangilah nafsumu dengan lapar dan dahaga kerana pahala yang demikian menyamai pahala orang yang berperang di jalan ALLAH."

Berpuasa menyempitkan tempat laluan Iblis. Oleh itu memudahkan diri kita untuk tunduk kepada perintah Allah. Pada masa yang sama tidak mengikut jalan nafsu dan kedurhakaan serta tidak terikut-ikut dengan budaya kemewahan dan mengutamakan dunia dari akhirat.

Dalam satu riwayat ada menceritakan 'orang yang paling tinggi darjatnya di sisi ALLAH pada hari kiamat ialah mereka yang lama berlapar dan sentiasa merenung kebesaran ALLAH S.W.T.' Pada riwayat lain, Nabi Muhammad S.A.W bersabda "Ketuklah selalu pintu syurga supaya dibukakan untukmu. Bila Aisyah bertanya bagaimana, Nabi menerangkan dengan lapar dan dahaga."

Nabi juga ada bersabda "manusia yang paling lama menderita kelaparan pada hari kiamat ialah mereka yang paling lama kenyangnya di dunia."

Baginda Rasulullah S.A.W sendiri belum pernah merasakan kekenyangan malahan pernah tidak merasakan sebarang makanan selama berhari-hari sehinggalah baginda wafat.

Di antara kebaikan daripada berpuasa ialah seperti berikut:

membersihkan hati dan menajam fikiran

memperhalus jiwa dan rohani sehingga terasa lazat beribadat

menghilangkan rasa sombong diri

merasa dan ingat akan ujian dan cobaan ALLAH

merobohkan kubu pertahanan nafsu

mengurangkan rasa ngantuk dan tidur supaya berpeluang beribadat kepada ALLAH

membuka peluang seluasnya untuk ibadat

menyihatkan badan dan sistem jasmani

menolak pelbagai penyakit berpunca dari banyak makan

mengurangkan perbelanjaan untuk makan

membaiki hati dan bersimpati orang miskin dengan sedekah

Jadi, sekarang kita berada di penghujung Ramadhan - bulan taubat, bulan berkat, bulan keampunan, bulan jihad, bulan muhasabah dan bulan pelepasan dari api neraka. Hari ini kita masih berkesempatan berpuasa, elok belum tentu lagi... Jadi gunakan kesempatan ini dengan banyak beribadat dan berjuang melawan nafsu.

Nafsu jahat perlulah dibanteras. Nafsu perut jangan diturutkan . Nafsu yang ingin melihat perkara yang haram perlu dilawan. Telinga ingin mendengar hiburan dan nyanyian perlu disekat. Naluri syahwat yang inginkan kepuasan juga dikekang. Pendekata semua indera dan anggota perlu dipuasakan demi menjaga hak berpuasa. Begitu juga mulut yang ingin berceloteh, mengumpat, berbohong dan mencaci mesti dilawan.

Puasa hanya menjadi satu adat dan budaya jika hanya menahan diri dari makan dan minum tanpa disertai dengan kesungguhan berperang dengan nafsu. Tujuan berpuasa mestilah jelas supaya adab-adab berpuasa dapat kita jaga dengan baik.

Inilah sebenarnya intipati puasa. Kalaulah tidak masakan Nabi mengatakan jihad melawan nafsu lebih berat daripada jihad perang fisabilillah; sedangkan peperangan dengan senjata amat berat dan mempunyai risiko yang amat dahsyat. Mengabaikan aspek ini bermakna kita hanya berpuasa mengikut adat atau secara lahiriah saja tanpa menghayati apa yang tersirat dalam ibadat puasa. Nabi Muhammad S.A.W. mengingatkan kita bahawa ramai orang yang berpuasa tidak dapat apa-apa kecuali lapar dan dahaga.

Amat wajar sekali bagi mereka yang benar-benar berjuang melawan nafsu sepanjang Ramadhan diberikan ganjaran Lailatul-Qadr - satu malam yang menyamai 1000 bulan. Amat beruntung dan bertuah bagi mereka yang dapat menghidupkan malam Lailatul-Qadr yang jatuhnya pada salah satu malam di antara 10 terakhir Ramadhan.

Barangsiapa yang sudah berjuang melawan nafsu pada hari-hari sebelumnya amat mudah melakukannya. Mereka akan berebut dan menunggu saat-saat yang maha berkat ini. Betapa kiranya jika ada orang menawarkan agar beribadat pada sekian malam dan akan diberi berbillion-billion ringgit malahan kekayaan seorang korporat. Sudah tentu semua manusia turut berjaga malam untuk merebut tawaran ini. Tapi sayang seribu kali sayang tawaran ALLAH ini dipandang sepi oleh sebahagian besar manusia termasuk diri kita, lantaran kurangnya iman kita terhadap ALLAH. Masa masih ada bagi kita untuk merenung diri dan mengambil peluang yang ALLAH berikan pada Ramadhan ini.

Sebagaimana orang yang menyambut Ramadhan dengan hati yang gembira diharamkan jasadnya dari api neraka, begitulah juga keadaannya orang yang sangat berat hatinya meningggalkan Ramadhan. Lantaran itu, ramai di antara orang-orang soleh menangis meninggalkan bulan yang penuh dengan keberkatan ini. Mereka sedar tidak ada bulan lain yang menyamai Ramadhan. Awal Syawal mereka berhariraya dan hari keduanya diikuti dengan puasa sunat 6 hari. Mengikut Nabi barangsiapa berpuasa 6 hari dalam bulan Syawal seolah-olah berpuasa sepanjang tahun. 30 hari + 6 hari = 36 hari. Jika setiap kebajikan dibalas dengan 10, maka 36 x 10 = 360 hari atau 1 tahun.

Adakah kita termasuk dalam golongan orang yang dukacita meninggalkan Ramadhan atau sebaliknya? Sementara masih ada hari-hari puasa lagi, sama-samalah kita mempertingkatkan nilai puasa kita semoga dapat kita menikmati kelazatan berpuasa dan menghidupkan malam Lailatul-Qadr. Semoga puasa tahun ini benar-benar memberi kesan yang positif terhadap diri kita, amin.

Selamat berpuasa dan selamat menyambut Hari Raya - merayakan kemenangan kita dalam peperangan dengan nafsu. Janganlah kita berhari raya kerana menyambut kemenangan nafsu atas diri kita ...
Wallahu a'alam..
post by: ANNA

Catat Ulasan

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Sahabat filah yang dikasihi ALLAh..

Lewat laman ini pasti dan pasti terdapat banyak kekurangan dan kesilapan yang tentu saja disebabkan kerana kedhaifan ana sebagai penulis.

Maka, kupinta ditegur sapa dan nasihat ikhlas sentiasa terbuka, demi wujudnya islah antara kita..in shaa ALLAH

Jazaakumullahu khairan wa ahsanal jaza' atas kunjungan hati :)

♥ Salam ukhuwahfillah, barakallahu fikum ♥

♥ Malik Bin Dinar ♥

Sebaik-baik contoh dalam dakwah islamiyyah ialah Rasulullah SAW. Sebarang usaha yang tidak mencontohi usaha dan cara Baginda SAW, kebiasaannya akan menemui kekecewaan dan kegagalan. Pendakwah hendaklah banyak mendampingi sirah Rasulullah SAW dan menjadikan Baginda sebagai Qudwah (ikutan). Dakwah Rasulullah SAW mengajak kepada Aqidah dan Iman dahulu dari yang lain.

Daie (pendakwah) hendaklah memperingati diri sendiri sebelum memperingati orang lain. Memperbaiki diri sendiri sebelum memperbaiki orang lain. Jika daie beramal dengan apa yang diperkatakannya nescaya memberi kesan kepada hati pendengar, jika tidak apa yang diperkatakannya hanya mampu sampai ketelinga sahaja. Demikianlah pandangan Malik Bin Dinar.

♥ Ummatan Wahidah ♥

Selagi kita mengaku ALLAH yang satu, selagi itulah pasti ada jalan untuk bersatu. Sesama muslim kita umpama dua telapak tangan, dengan dipertemukan, terhasillah persaudaraan.

Tangan kanan kotor, tangan kiri juga kotor, namun dengan interaksi yag harmoni berasaskan kelembutan dan kejujuran, kita akan saling membersihkan.

Jangan ada benci. Jangan dibauri kelicikan strategi yang penuh prasangka dan tipu daya... kedua tangan akan terus bercakaran. Keduanya akan saling melukakan.

Hidup hanya sementara... sampai bila kita akan bersengketa? Percayalah apabila berada di ambang kematian... kita akan jadi rindu untuk meminta maaf dan memaafkan.

- Ustaz Pahrol Mohamad Joui -

♥ Dr 'Aidh al-Qarni ♥

Syurga itu sgt mahal harganya, jangan terlalai dalam kesenangan atau semakin jauh dari ALLAH kerana kejahilan dan kesombongan.

Bermujahadahlah dengan sungguh sungguh...telanlah kepahitan mujahadah utk menikmati kelazatan ibadah..apatah lagi tawarannya adalah syurga ALLAH. Nafsu kita ini...ya..nafsu inilah yg harus kita didik dengan taqwa, jernihkan dgn ibadah yang ikhlas...sucikan dengan memohon langsung kepada ALLAH.

Memang benar...kalau kita berlonggar sangat dengan nafsu...lemah mujahadah..akhirnya kita menjadi tawanan nafsu. Hubungan dengan ALLAH terasa tawar...solat tapi rasa jauh, quran pun sudah tak tercapai dek tangan..dengan dosa terasa biasa. Justeru...isytiharkan Jihad!..dgn nafsu, dgn bisikan syaitan dari kalangan jin dan manusia...supaya kita kuat untuk menyebarkan kebaikan dan kesejahteraan pada yang lain dengan izin ALLAH.

~ Indahnya Syurga ~

  © Blogger template Snowy Winter by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP