Zikir membuka pintu Makrifatullah..


Sebagaimana firman ALLAH S.W.T yang bermaksud:- " Berzikirlah dengan menyebut nama ALLAH sebanyak-banyaknya" hendaklah kita sentiasa berzikir pada waktu malam ataupun siang, di daratan ataupun di lautan, semasa berada dalam perjalanan atau tidak, dalam keadaan miskin ataupun kaya, ketika sakit ataupun sihat dengan perlahan ataupun nyaring dan dalam apa-apa saja keadaan."
Hafiz Ibnu Hajar rah. menulis di dalam kitabnya Al-Munabbihat tentang satu riwayat daripada Hazrat Uthman r.anhu tentang tafsir ayat Al-Quran yang bermaksud, " Dan di bawahnya ada harta simpanan bagi mereka berdua." Iaitu kisah 2 orang anak yatim yang harta simpanan untuk mereka berdua ialah satu papan tulis daripada emas yang tertulis tujuh baris ayat yang bererti:-
  1. Aku hairan terhadap sikap orang mengetahui bahawa adanya maut tetapi dia masih berketawa.
  2. Aku hairan terhadap sikap orang yang mengetahui bahawa satu hari dunia ini akan binasa tetapi dia masih terpesona kepada dunia.
  3. Aku hairan terhadap sikap orang yang mengetahui bahawa segala-galanya berlaku mengikut ketetapan ALLAH S.W.T tetapi masih berdukacita di atas kehilangan sesuatu.
  4. Aku hairan terhadap sikap orang yang yakin bahawa dia akan di hisab di akhirat nanti tetapi dia masih mengumpul harta kekayaan.
  5. Aku hairan terhadap sikap orang yang mengetahui bahawa adanya api neraka tetapi dia masih melakukan maksiat.
  6. Aku hairan terhadap sikap orang yang kenal ALLAH S.W.T tetapi dia masih mengingati selainNYA.
  7. Aku hairan terhadap sikap orang yang mengetahui adanya syurga tetapi masih mencari keseronokan dengan kemewahan dunia.
Terdapat sedikit tambahan dalam sesetengah naskhah yang lain iaitu, " Aku hairan terhadap sikap orang yang menganggap syaitan sebagai musuh tetapi masih mentaatinya."

Hafiz Ibnu Hajar rah. meriwayatkan daripada Hazrat Jabir r.anhu bahawa Rasulullah S.A.W bersabda," Hazrat Jibril a.s sentiasa bersungguh-sungguh memberi penekanan terhadap zikrullah sehingga aku mula menyangka bahawa tidak ada sesuatu amalan pun yang boleh memberi manfaat tanpa zikrullah"

Melalui zikkrullah terbinalah mahligai di dalam syurga. Apabila seseorang hamba berhenti berzikir maka para malaikat berhenti daripada membina mahligai itu. Apabila mereka ditanya, " Mengapakah kamu berhenti daripada membina mahligai si fulan itu?" Mereka menjawab bahawa perbelanjaannya belum tiba lagi.

Diriwayatkan daripada Hazrat Anas r.anhu katanya, Rasulullah S.A.W bersabda," Tiadalah seorang hamba yang mengucapkan ' La ilahaillallah ' pada bila-bila masa pada malam hari atau pada siang hari melainkan dihapuskan dosa-dosa daripada buku amalannya dan diganti dengan kebaikan." ( Hadith Riwayat Abu Ya'la )

Zikir melahirkan kekuatan yang khas sehingga seseorang itu mampu melakukan sesuatu yang dianggap sukar. Puteri Baginda S.A.W Fatimah r.anha telah meminta seorang pembantu rumah kerana kesukarannya mengisar tepung dan melakukan kerja-kerja rumah yang lain dengan seorang diri. Lalu Baginda S.A.W telah memerintahkan puterinya Fatimah r.anha supaya membaca (Subhanallah 33 kali), (Alhamdulillah 33 kali), (AllahuAkbar 34 kali) sebelum tidur. Baginda S.A.W bersabda, " Zikir tersebut adalah lebih baik daripada seorang pembantu."

Disebutkan dalam sebuah hadith lagi bahawa sesiapa yang mengucapkan, " Subhanallahi wabihamdih subhanallah hil a'azim" sebanyak tujuh kali nescaya dibinakan satu kubah untuknya di syurga.


Keampunan dan ganjaran seperti dijanjikan oleh ALLAH S.W.T melalui zikrullah tidak akan diperoleh melalui mana-mana amalan yang lain. Di sebutkan dalam hadith bahawa sesiapa yang membaca kalimah " Lailahaillallah huwahdahula syariikalah lahulmulkuwalahul hamduyuhyi wayumiitu wahuwa a'alakullisyai'inkadir" sebanyak 100 kali pada satu hari maka dia akan mendapat pahala seperti memerdekakan 10 orang hamba, dicatatkan dalam buku amalannya 100 kebajikan, dihapuskan daripadanya 100 dosa, dipelihara daripada syaitan sehingga ke petang, tidak sesiapa pun yang lebih baik daripadanya kecuali orang yang membaca kalimah itu lebih daripadanya.

Rasulullah S.A.W bersabda, " Jangan ada sesiapa pun di kalangan kamu yang tidak melakukan 1000 kebajikan setiap hari. Bacalah Subhanallahi wabihamdih 100 kali, ia menyamai seribu kebajikan." Sedangkan dosa yang sebegitu banyak, 'insyaALLAH' tidak akan dilakukan oleh seseorang mukmin setiap hari.

Daripada Abu Hurairah r.anhu katanya bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, " ALLAH S.W.T berfirman, " Sesungguhnya apa-apa yang akan Aku lakukan terhadap hambaKu adalah mengikut sangkaan hambaKu terhadapKu, dan Aku bersamanya apabila dia mengingatiKu. Jika dia mengingati Aku di dalam hatinya maka Aku mengingati dia dalam di dalam hatiKu, dan jika dia mengingati Aku dalam perhimpunan maka Aku ingati dia dalam perhimpunan yang lebih baik (iaitu dalam jemaah para malaikat yang maksum dan suci daripada segala dosa). Apabila hambaKu mendekatiKu sejengkal, maka Aku dekati dia sehasta. Apabila dia mendekati Aku sehasta, maka Aku dekati dia sedepa. Dan apabila dia datang mendekati Aku dengan berjalan, maka Aku dekati dia dengan berlari." ( Hadith Riwayat Iman Ahmad, Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Hazrat Abu Hurairah r.anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, " Tujuh golongan yang akan dilindungi ALLAH S.W.T di bawah bayangan rahmatNYA iaitu" :-
  1. Pemerintah yang adil.
  2. Pemuda yang menggunakan masa muda remajanya untuk beribadat kepada ALLAH S.W.T
  3. Lelaki yang hatinya sentiasa terpaut pada masjid.
  4. Dua orang yang berkasih sayang antara satu sama lain kerana ALLAH. Mereka berkumpul dan berpisah kerana ALLAH S.W.T
  5. Lelaki yang digoda oleh wanita bangsawan dan jelita, lalu dia berkata, " Sesungguhnya saya takut kepada ALLAH!"
  6. Seseorang yang memberi sedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak tahu sedekah yang diberikan oleh tangan kanannya.
  7. Lelaki yang mengingati ALLAH S.W.T berseorangan sehingga berlinangan air matanya. ( Hadith Riwayat Imam Bukhari, Muslim dan lain-lain)

Ulasan