Dikuasakan oleh Blogger.

WAHYU TERAKHIR KEPADA (RASULULLAH S.A.W)

>> Jumaat, Julai 23, 2010

Di riwayatkan bahawa surah Al-Maidah ayat 3 diturunkan pada sesudah waktu asar yaitu pada hari Jumaat di Padang Arafah pada musim haji penghabisan (Wada'). Pada masa itu Rasulullah S.A.W berada di Arafah diatas unta. Ketika ayat ini turun Rasulullah S.A.W tidak begitu jelas penerimaannya untuk mengingati isi dan makna yang terkandung dalam ayat tersebut. 

Kemudian Rasulullah S.A.W bersandar pada unta beliau dan unta beliau pun duduk perlahan-lahan. Setelah itu turun malaikat Jibril a.s dan berkata:
" Wahai Muhammad, sesungguhnya pada hari ini telah disempurnakan urusan agamamu, maka terputuslah apa yang yang diperintahkan oleh ALLAH S.W.T dan demikian juga apa yang terlarang olehNya. Oleh itu kamu kumpulkan para sahabatmu dan beritahu kepada mereka bahawa hari ini adalah hari terakhir aku bertemu dengan kamu."

Setelah malaikat Jibril a.s pergi maka Rasulullah S.A.W pun berangkat ke Mekah dan terus ke Madinah. Setelah Rasulullah S.A.W mengumpulkan para sahabat beliau, maka Rasulullah .S.A.W pun menceritakan apa yang telah diberitahu oleh malaikat Jibril a.s. Apabila para sahabat mendengar hal yang demikian maka mereka pun gembira sambil berkata:" Agama kita telah sempurna. Agama kita telah sempurna."

Apabila Abu Bakar r.a mendengar keterangan Rasulullah S.A.W itu, maka ia tidak dapat menahan kesedihannya maka ia pun kembali ke rumah lalu mengunci pintu dan menangis sekuat-kuatnya. Abu Bakar r.a menangis dari pagi hingga ke malam. Kisah tentang Abu Bakar r.a menangis telah sampai kepada para sahabat yang lain, maka berkumpullah para sahabat di depan rumah Abu bakar r.a dan mereka berkata:" Wahai Abu Bakar, apakah yang telah membuat kamu menangis sehingga begini sekali keadaanmu? Seharusnya kamu merasa gembira sebab agama kita telah sempurna." Mendengarkan pertanyaan dari para sahabat maka Abu Bakar r.a pun berkata: " Wahai para sahabatku, kamu semua tidak tahu tentang musibah yang menimpa kamu, tidakkah kamu tahu bahawa apabila sesuatu perkara itu telah sempurna maka akan kelihatanlah akan kekurangannya. Dengan turunnya ayat tersebut bahawa ia menunjukkan perpisahan kita dengan Rasulullah S.A.W. Hasan Husin menjadi yatim dan para isteri Nabi meenjadi janda."

Setelah mendengar penjelasan dari Abu Bakar r.a, maka sadarlah mereka akan kebenaran kata-kata Abu Bakar r.a, lalu mereka menangis dengan sekuat-kuatnya. Tangisan mereka telah didengar oleh para sahabat yang lain, maka mereka pun terus memberitahu Rasulullah S.A.W tentang apa yang mereka lihat itu. 

Berkata salah seorang dari para sahabat, " Ya Rasulullah S.A.W, kami baru kembali dari rumah Abu Bakar r.a dan kami dapati banyak orang menangis dengan suara yang kuat di depan rumah beliau." Apabila Rasulullah S.A.W mendengar keterangan dari para sahabat, maka berubahlah muka Rasulullah S.A.W dan dengan bergegas beliau nenuju ke rumah Abu Bakar r.a. Setelah Rasulullah S.A.W sampai di rumah Abu Bakar r.a, maka Rasulullah S.A.W melihat kesemua mereka menangis dan bertanya, " Wahai para sahabatku, kenapa kamu semua menangis?" 

Kemudian Ali r.a berkata, " Ya Rasulullah S.A.W, Abu Bakar r.a mengatakan dengan turunnya ayat ini membawa tanda bahawa waktu wafatmu telah dekat. Adakah ini benar ya Rasulullah?" Lalu Rasulullah S.A.W berkata, " Semua yang dikatakan oleh Abu Bakar r.a adalah benar, dan sesungguhnya waktu aku meninggalkan kamu semua telah dekat."

Setelah Abu Bakar r.a mendengar penjelasan Rasulullah S.A.W, maka ia pun menangis sekuat tenaganya sehingga ia jatuh pengsan. Sementara Ukasyah r.a berkata kepada Rasulullah S.A.W, ' Ya Rasulullah, waktu itu anda pukul tulang rusuk saya. Oleh itu saya hendak tahu apakah anda sengaja memukul saya atau hendak memukul unta Baginda." Rasulullah S.A.W berkata: " Wahai Ukasyah, Rasulullah S.A.W sengaja memukul kamu." Kemudian Rasulullah S.A.W berkata kepada Bilal r.a, " Wahai Bilal, kamu pergi ke rumah Fatimah dan ambillah tongkatku ke mari." Bilal keluar dari masjid menuju ke rumah Fatimah sambil meletakkan tangan di atas kepala dengan berkata, " Rasulullah S.A.W telah menyediakan dirinya untuk dibalas (di qishash)."
Setelah Bilal sampai di rumah Fatimah maka Bilal pun memberi salam dan mengetuk pintu. 

Kemudian Fatimah r.ha menyahut dengan berkata: " Siapakah di pintu?" Lalu Bilal r.a berkata:" Saya Bilal, saya diperintahkan oleh Rasulullah S.A.W untuk mengambil tongkat beliau." Kemudian Fatimah r.a berkata:" Wahai Bilal, untuk apa ayakhku meminta tongkatnya." Berkata Bilal r.a: " Wahai Fatimah, Rasulullah S.A.W telah menyediakan dirinya untuk di qishash." Bertanya Fatimah r.ha lagi:" Wahai Bilal, siapakah manusia yang sampai hatinya untuk menqishash Rasulullah S.A.W?" Bilal r.a tidak menjawab pertanyaan Fatimah r.ha, Setelah Fatimah r.ha memberikan tongkat tersebut, maka Bilal pun membawa tongkat itu kepada Rasulullah S.A.W. Setelah Rasulullah S.A.W menerima tongkat tersebut dari Bilal r.a maka beliau pun menyerahkan kepada Ukasyah.

Melihatkan hal yang demikian maka Abu Bakar r.a dan Umar r.a tampil ke depan sambil berkata: " Wahai Ukasyah, janganlah kamu qishash Rasulullah S.A.W, tetapi qishashlah kami berdua." Rasulullah S.A.W mendengar kata-kata Abu bakar dan Umar r.a maka dengan segera beliau berkata" Wahai Abu Bakar, Umar duduklah kamu berdua, sesungguhnya ALLAH S.W.T telah menetapkan tempatnya untuk kamu berdua." Kemudian Ali r.a bangun lalu berkata," Wahai Ukasyah! Aku adalah orang yang selalu senantiasa berada di samping Rasulullah S.A.W, oleh itu pukullah aku dan janganlah menqishash Rasulullah S.A.W." Lalu Rasulullah S.A.W berkata, " Wahai Ali duduklah kamu, sesungguhnya ALLAH S.W.T telah menetapkan tempatmu dan megetahui isi hatimu." Setelah itu Hasan dan Husin bangun dan berkata:" Wahai Ukasyah, bukankah kamu tidak tahu bahawa kami ini adalah cucu Rasulullah S.A.W, kalau kamu menqishash kami sama dengan kamu menqishash Rasulullah S.A.W." Mendengar kata-kata cucunya, Rasulullah S.A.W pun berkata: " Wahai buah hatiku duduklah kamu berdua." Berkata Rasulullah S.A.W: "Wahai Ukasyah pukullah saya kalau kamu hendak memukul."
Kemudian Ukasyah berkata: "Ya Rasulullah S.A.W, anda telah memukul saya sewaktu saya tidak memakai baju." Maka Rasulullah S.A.W pun membuka baju. Setelah Rasulullah S.A.W membuka baju maka menangislah semua yang hadir. Setelah Ukasyah melihat tubuh Rasulullah S.A.W maka ia pun mencium beliau dan berkata, " Saya tebus anda dengan jiwa saya ya Rasulullah S.A.W, siapakah yang sanggup memukul anda. Saya melakukan begini adalah sebab saya ingin menyentuh badan anda yang dimuliakan oleh ALLAH S.W.T dengan badan saya. Dan ALLAH S.W.T menjaga saya dari neraka dengan kehormatanmu." Kemudian Rasulullah S.A.W berkata:" Dengarlah kamu sekalian, sekiranya kamu hendak melihat ahli syurga, inilah orangnya." Kemudian semua para jemaah bersalam-salaman atas kegembiraan mereka terhadap peristiwa yang sangat genting itu. Setelah itu para jemaah pun berkata, " Wahai Ukasyah, inilah keuntungan yang paling besar bagimu, engkau telah memperolehi darjat yang tinggi dan bertemankan Rasulullah S.A.W di dalam syurga."

 Apabila ajal Rasulullah S.A.W makin dekat maka beliau pun memanggil para sahabat ke rumah Aisyah r.a dan beliau berkata:" Selamat datang kamu semua semoga ALLAH S.W.T mengasihi kamu semua, saya berwasiat kepada kamu semua agar kamu semua bertaqwa kepada ALLAH S.W.T dan mentaati segala perintahnya. Sesungguhnya hari perpisahan antara saya dengan kamu semua hampir dekat dan dekat pula saat kembali seorang hamba kepada ALLAH S.W.T dan menempatkannya di syurga. Kalau telah sampai ajalku maka hendaklah Ali yang memandikanku, Fadhl bin Abbas hendaklah menuangkan air dan Usamah bin Zaid hendaklah menolong keduanya. Setelah itu kafanilah aku dengan pakaianku sendiri apabila kamu semua menghendaki, atau kafanilah aku dengan kain Yaman yang putih. Apabila kamu memandikan aku, maka hendaklah kamu letakkan aku diatas balai tempat tidurku dalam rumahku ini. Setelah itu kamu semua keluarlah sebentar meninggalkan aku. Pertama yang mensolatkan aku ialah ALLAH S.W.T, kemudian yang akan mensolatkan aku ialah Jibril a.s, kemudian diikuti oleh malaikat Israfil, malaikat Mikail dan yang akhir sekali malaikat Izrail beserta dengan semua para pembantunya. Setelah itu baru kamu masuk bergantian secara berkelompok bersolat ke atasku."

Setelah para sahabat mendengar ucapan yang sungguh menyayat hati itu maka mereka pun menangis dengan nada keras dan berkata, " Ya Rasulullah S.A.W anda adalah seorang Rasul yang di utus kepada kami dan untuk semua, yang mana selama ini anda memberi kekuatan dalam penemuan kami dan sebagai penguasa yang menguruskan perkara kami. Apabila anda sudah tiada nanti kepada siapakah akan kami tanya setiap persoalan yang timbul nanti?" Kemudian Rasulullah S.A.W berkata, " Dengarlah para sahabatku, aku tinggalkan kepada kamu semua jalan yang benar dan jalan yang terang, dan aku telah tinggalkan kepada kamu semua dua penasihat yang satu daripadanya pandai berbicara dan yang satu lagi diam sahaja. Yang pandai bicara itu ialah Al-Quran dan yang diam itu ialah maut. Apabila ada sesuatu persoalan yang rumit antara kamu, maka hendaklah kamu semua kembali kepada Al-Quran dan Hadis-ku dan sekiranya hati kamu itu berkeras maka lembutkan dia dengan mengambil pelajaran dari mati."

Setelah Rasulullah S.A.W berkata demikian, maka sakit Rasulullah S.A.W bermula. Dalam bulan safar Rasulullah S.A.W sakit selama 18 hari dan sering diziarahi oleh para sahabat. Dalam sebuah kitab diterangkan bahawa Rasulullah S.A.W diutus pada hari isnin dan wafat pada hari Isnin. Pada hari Isnin penyakit Rasulullah S.A.W bertambah berat, setelah Bilal r.a menyelesaikan azan subuh, maka Bilal r.a pun pergi ke rumah Rasulullah S.A.W. Sesampainya Bilal r.a di rumah Rasulullah S.A.W maka Bilal r.a pun memberi salam, " Assalaamualaika ya Rasulullah S.A.W." Lalu dijawab oleh Fatimah r.a, " Rasulullah S.A.W masih sibuk dengan urusan beliau." Setelah Bilal mendengar penjelasan Fatimah r.a maka Bilal r.a pun kembali ke masjid tanpa memahami kata-kata Fatimah r.a. Apabila waktu subuh hampir hendak lupus, lalu Bilal r.a pergi sekali lagi ke rumah Rasulullah S.A.W dan memberi salam seperti permulaan tadi, kali ini salam Bilal r.a telah didengar oleh Rasulullah S.A.W dan berkata, " Masuklah wahai Bilal, sesungguhnya penyakitku semakin berat, oleh itu kamu suruhlah Abu Bakar mengimamkan solat subuh berjemaah dengan mereka yang hadir." Setelah mendengar kata-kata Rasulullah S.A.W maka Bilal r.a pun berjalan menuju ke masjid sambil meletakkan tangan di atas kepalanya dengan berkata, " Aduh musibah."
Setelah Bilal r.a sampai di masjid maka Bilal r.a pun memberitahu Abu Bakar r.a tentang apa yang telah Rasulullah S.A.W katakan kepadanya. Abu Bakar r.a tidak dapat menahan dirinya apabila ia melihat mimbar kosong maka dengan suara keras Abu Bakar r.a menangis sehingga jatuh pengsan. Melihatkan peristiwa ini maka riuh rendah tangisan sahabat dalam masjid, sehingga Rasulullah S.A.W bertanya kepada Fatimah r.a, " Wahai Fatimah apakah yang telah berlaku?" Maka Fatimah r.a pun berkata, " Kekecohan kaum muslimin,sebab anda tidak pergi ke masjid." 

Kemudian Rasulullah S.A.W memanggil Ali r.a dan Fadhl bin Abbas r.a, lalu Rasulullah S.A.W bersandar kepada kedua mereka dan terus pergi ke masjid. Setelah Rasulullah S.A.W sampai di masjid maka Rasulullah S.A.W pun bersolat subuh bersama dengan para jemaah.
Setelah selesai solat subuh maka Rasulullah S.A.W pun berkata, " Wahai kaum muslimin, kamu semua senantiasa dalam pertolongan dan pemeliharaan ALLAH S.W.T, oleh itu hendaklah kamu semua bertaqwa kepada ALLAH S.W.T dan mengerjakan segala perintahnya. Sesungguhnya aku akan meninggalkan dunia ini dan kamu semua, dan hari ini adalah hari pertama aku di akhirat dan hari terakhir aku di dunia." Setelah berkata demikian Rasulullah S.A.W pun pulang ke rumah beliau. Kemudian ALLAH S.W.T mewahyukan kepada malaikat Izrail a.s, " Wahai Izrail, pergilah kamu kepada kekasihku dengan sebaik-baik rupa, dan apabila kamu hendak mencabut ruhnya maka hendaklah kamu melakukan dengan cara yang paling lembut sekali. Apabila kamu pergi ke rumahnya maka minta izinlah terlebih dahulu, kalau ia izinkan kamu masuk, maka masuklah kamu kerumahnya dan kalau ia tidak mengizinkan kamu masuk maka hendaklah kamu kembali kepadaku."

Setelah mendapat perintah dari ALLAH S.W.T, maka malaikat Izrail pun turun dengan menyerupai orang Arab Badwi. Setelah malaikat Izrail sampai di depan rumah Rasulullah S.A.W, maka ia pun memberi salam, " Assalaamu alaikum yaa ahla baitin nubuwwati wa ma danir risaalati a adkhulu?" (Mudah-mudahan keselamatan tetap untuk kamu semua sekalian, wahai penghuni rumah Nabi dan sumber risaalah, boleh saya masuk?) Apabila Fatimah mendengar orang memberi salam maka ia pun berkata, " Wahai hamba ALLAH, Rasulullah S.A.W sedang sibuk dan sebab sakitnya yang semakin berat." Kemudian malaikat Izrail berkata lagi seperti permulaannya dan kali ini seruan malaikat itu didengar oleh Rasulullah S.A.W dan Rasulullah S.A.W bertanya kepada Fatimah, " Wahai Fatimah, siapakah di depan pintu itu?" Maka Fatimah r.a pun berkata, " Ya Rasulullah, ada seorang Arab Badwi memanggilmu, dan aku telah katakan kepadanya bahawa anda sedang sibuk sebab sakit, sebaliknya dia memandang saya dengan tajam sehingga terasa menggigil badan saya." Kemudian Rasulullah S.A.W berkata, " Wahai Fatimah, tahukah kamu siapakah orang itu?" Jawab Fatimah, " Tidak, ayah."Dia adalah malaikat Izrail, malaikat yang akan memutuskan segala nafsu syahwat yang memisahkan perkumpulan-perkumpulan dan memusnahkan semua rumah, serta meramaikan kubur." Fatimah r.a tidak dapat menahan air matanya lagi setelah mengetahui saat perpisahan dengan ayahandanya akan berakhir, dia menangis sepuas-puasnya. Apabila Rasulullah S.A.W mendengar tangisan Fatimah r.a, maka beliau pun berkata, " Janganlah kamu menangis wahai Fatimah, engkaulah orang pertama dalam keluargaku akan bertemu dengan aku." Kemudian Rasulullah S.A.W pun mengizinkan malaikat Izrail masuk. Maka malaikat Izrail pun masuk dengan mengucap , " Assalamualaikum ya Rasulullah." Lalu Rasulullah S.A.W menjawab, " Wa alaikas saalamu, wahai Izrail engkau datang menziarahi aku atau untuk mencabut ruhku?" Maka malaikat Izrail berkata: " Kedatangan saya adalah untuk menziarahimu dan mencabut ruhmu, itupun kalau engkau izinkan, kalau tidak diizinkan maka aku akan kembali. " Berkata Rasulullah S.A.W, "Wahai Izrail, di manakah kamu tinggalkan Jibril?" Berkata Izrail: "Saya tinggalkan Jibril di langit dunia, para malaikat sedang memuliakan dia." Tidak berapa lama kemudian Jibril a.s pun turun dan duduk di dekat kepala Rasulullah S.A.W.

Apabila Rasulullah S.A.W melihat kedatangan Jibril a.s maka Rasulullah S.A.W pun berkata: " Wahai Jibril, tahukah kamu bahawa ajalku sudah dekat? " Berkata Jibril a.s, " Ya aku tahu." Rasulullah S.A.W bertanya lagi, " Wahai Jibril, beritahu kemuliaan yang menggembirakan aku disisi ALLAH S.W.T". Berkata Jibril a.s, " Sesungguhnya semua pintu langit telah dibuka, para malaikat bersusun rapi menanti ruhmu dilangit. Kesemua pintu-pintu syurga telah di buka dan kesemua bidadari sudah berhias menanti kehadiran ruhmu." Berkata Rasulullah S.A.W, Alhamdulillah, sekarang kamu katakan pula tentang umatku di hari kiamat nanti." Berkata Jibril a.s, " ALLAH S.W.T telah berfirman yang bermaksud, " Sesungguhnya aku telah melarang semua para nabi masuk ke dalam syurga sebelum engkau masuk terlebih dahulu, dan aku juga melarang semua umat memasuki syurga sebelum umatmu memasuki syurga."

Berkata Rasulullah S.A.W, " Sekarang aku telah puas hati dan telah hilang rasa susahku." Kenudian Rasulullah S.A.W berkata: " Wahai Izrail, mendekatlah kamu kepadaku." Setelah itu malaikat Izrail pun memulai tugasnya, apabila ruh beliau sampai pada pusat, maka Rasulullah S.A.W pun berkata: " Wahai Jibril, alangkah dahsyatnya rasa mati." Jibril a.s mengalihkan pandangan dari Rasulullah S.A.W apabila mendengar kata-kata beliau itu. Melihatkan telatah Jibril a.s itu maka Rasulullah S.A.W pun berkata: " Wahai Jibril, apakah kamu tidak suka melihat wajahku?" Jibril a.s berkata: " Wahai kekasih ALLAH, siapakah orang yang sanggup melihat wajahmu dikala kamu dalam sakaratul maut?" Anas bin Malik r.a berkata:" Apabila ruh Rasulullah S.A.W telah sampai di dada beliau telah bersabda, " Aku wasiatkan kepada kamu agar kamu semua menjaga solat dan apa-apa yang telah diperintahkan ke atasmu."
Ali r.a berkata:" Sesungguhnya Rasulullah S.A.W ketika menjelang saat-saat terakhir, telah menggerakkan bibir beliau sebanyak dua kali dan saya meletakkan telinga saya dengan Rasulullah S.A.W dengan berkata: " Umatku, Umatku."

Telah bersabda Rasulullah S.A.W bahawa: " Malaikat Jibril a.s berkata kepadaku, " Wahai Muhammad, sesungguhnya ALLAH S.W.T telah menciptakan sebuah laut di belakang gunung Qaf, dan di laut itu terdapat ikan yang selalu membaca selawat untukmu, kalau sesiapa yang mengambil seekor ikan dari laut tersebut maka akan lumpuhlah kedua belah tangannya dan ikan tersebut akan menjadi batu."

Source: Kitab Tanbihul Ghafilin

Catat Ulasan

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Sahabat filah yang dikasihi ALLAh..

Lewat laman ini pasti dan pasti terdapat banyak kekurangan dan kesilapan yang tentu saja disebabkan kerana kedhaifan ana sebagai penulis.

Maka, kupinta ditegur sapa dan nasihat ikhlas sentiasa terbuka, demi wujudnya islah antara kita..in shaa ALLAH

Jazaakumullahu khairan wa ahsanal jaza' atas kunjungan hati :)

♥ Salam ukhuwahfillah, barakallahu fikum ♥

♥ Malik Bin Dinar ♥

Sebaik-baik contoh dalam dakwah islamiyyah ialah Rasulullah SAW. Sebarang usaha yang tidak mencontohi usaha dan cara Baginda SAW, kebiasaannya akan menemui kekecewaan dan kegagalan. Pendakwah hendaklah banyak mendampingi sirah Rasulullah SAW dan menjadikan Baginda sebagai Qudwah (ikutan). Dakwah Rasulullah SAW mengajak kepada Aqidah dan Iman dahulu dari yang lain.

Daie (pendakwah) hendaklah memperingati diri sendiri sebelum memperingati orang lain. Memperbaiki diri sendiri sebelum memperbaiki orang lain. Jika daie beramal dengan apa yang diperkatakannya nescaya memberi kesan kepada hati pendengar, jika tidak apa yang diperkatakannya hanya mampu sampai ketelinga sahaja. Demikianlah pandangan Malik Bin Dinar.

♥ Ummatan Wahidah ♥

Selagi kita mengaku ALLAH yang satu, selagi itulah pasti ada jalan untuk bersatu. Sesama muslim kita umpama dua telapak tangan, dengan dipertemukan, terhasillah persaudaraan.

Tangan kanan kotor, tangan kiri juga kotor, namun dengan interaksi yag harmoni berasaskan kelembutan dan kejujuran, kita akan saling membersihkan.

Jangan ada benci. Jangan dibauri kelicikan strategi yang penuh prasangka dan tipu daya... kedua tangan akan terus bercakaran. Keduanya akan saling melukakan.

Hidup hanya sementara... sampai bila kita akan bersengketa? Percayalah apabila berada di ambang kematian... kita akan jadi rindu untuk meminta maaf dan memaafkan.

- Ustaz Pahrol Mohamad Joui -

♥ Dr 'Aidh al-Qarni ♥

Syurga itu sgt mahal harganya, jangan terlalai dalam kesenangan atau semakin jauh dari ALLAH kerana kejahilan dan kesombongan.

Bermujahadahlah dengan sungguh sungguh...telanlah kepahitan mujahadah utk menikmati kelazatan ibadah..apatah lagi tawarannya adalah syurga ALLAH. Nafsu kita ini...ya..nafsu inilah yg harus kita didik dengan taqwa, jernihkan dgn ibadah yang ikhlas...sucikan dengan memohon langsung kepada ALLAH.

Memang benar...kalau kita berlonggar sangat dengan nafsu...lemah mujahadah..akhirnya kita menjadi tawanan nafsu. Hubungan dengan ALLAH terasa tawar...solat tapi rasa jauh, quran pun sudah tak tercapai dek tangan..dengan dosa terasa biasa. Justeru...isytiharkan Jihad!..dgn nafsu, dgn bisikan syaitan dari kalangan jin dan manusia...supaya kita kuat untuk menyebarkan kebaikan dan kesejahteraan pada yang lain dengan izin ALLAH.

~ Indahnya Syurga ~

  © Blogger template Snowy Winter by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP