Takut kepada ALLAH S.W.T



Rasulullah S.A.W Menangis sepanjang Malam

Pada suatu ketika Rasulullah S.A.W telah menangis sepanjang malam dan mengulangi ayat ini sehingga ke pagi,
"Jika Engkau menyeksa mereka, (maka tidak ada yang menghalang perbuatanMu) kerana sesungguhnya mereka ialah hambaMu. Dan jika Engkau mengampunkan mereka maka sesungguhnya Engkau sahajalah Yang Maha Kuasa Lagi Maha Bijaksana." (Al-Maidah:118)

Diberitakan juga bahawa pada suatu malam Imam Abu Hanifah rah. telah menangis sepanjang malam sambil membaca,
" Dan (sebaliknya dikatakan kepada orang kafir) berpisahlah kamu pada hari ini wahai orang yang berdosa ( daripada bercampur gaul dengan orang yang beriman)." (Surah Ya Sin:59)

Ayat ini membawa makna bahawa orang-orang yang menderhaka kepada ALLAH S.W.T akan diperintah supaya berpisah daripada mereka yang berbakti kepadaNYA. Mereka juga tidak dibenarkan bergaul dengan para solehin sebagaimana yang diperbuat oleh mereka di dunia. Berdasarkan perintah di atas, sebanyak mana pun kita menangis sebenarnya masih tidak mencukupi kerana tidak diketahui tempat kita akan dihimpunkan samada di kalangan mereka yang bersalah atau di kalangan mereka yang taat.


Teguran Rasulullah S.A.W kepada Sahabat yang Ketawa

Suatu ketika Rasulullah S.A.W dalam perjalanan untuk menunaikan solah lalu Baginda S.A.W ternampak satu kumpulan orang yang sedang ketawa berdekah-dekah sehingga menampakkan gigi. Rasulullah S.A.W bersabda, " Sekiranya kamu banyak mengingati maut pasti tidak akan berlaku keadaan yang saya lihat ini."

Oleh itu, perbanyakkanlah mengingati maut. Tiada satu hari pun berlalu tanpa kubur berkata, " Aku ialah rumah kesunyian, rumah keseorangan, rumah debu dan rumah ulat-ulat."

Apabila seseorang mukmin dimasukkan ke dalam kubur maka kubur akan berkata, " Kedatanganmu dialu-alukan, tersangat baik kerana kamu telah datang kepadaku. Daripada kalangan manusia yang berjalan diatas muka bumi, engkaulah yang paling aku sukai. Hari ini engkau telah datang kepadaku, engkau akan melihat sebaik-baik layanan daripadaku."

Selepas itu kubur akan meluas sejauh mata memandang. Kemudian akan terbuka satu pintu yang melalui pintu itu akan masuk bayu dan wangi-wangian dari syurga secara berterusan.

Apabila orang yang berdosa dimasukkan, kubur akan berkata, " Tiada kata-kata aluan untuk kedatanganmu. Sangat jelek kedatanganmu. Daripada kalangan manusia yang berjalan diatas muka bumi engkaulah yang paling aku benci. Hari ini engkau telah diserahkan kepadaku, engkau akan melihat layanan daripadaku."

Selepas itu kubur akan menghimpitnya sehingga tulang-tulang rusuk akan berceragah antara satu sama lain. Kemudian tujuh puluh ekor ular akan dilepaskan ke atasnya. Sekiranya seekor sahaja daripada ular itu menghamburkan bisa ke atas bumi, maka sehelai rumput pun tidak akan tinggal. Ular itu akan terus mematuk orang tersebut hingga hari kiamat. Selepas itu Rasulullah S.A.W bersabda, " Kubur merupakan satu kebun daripada kebun-kebun syurga ataupun satu lembah daripada lembah-lembah neraka." (Misykat)...

Keterangan dari kisah diatas: Takutkan ALLAH S.W.T ialah perkara yang sangat-sangat perlu lagi penting. Perkara inilah yang menyebabkan Rasulullah S.A.W sering duduk merenung. Mengingati maut akan menambahkan sifat takut kepada ALLAH S.W.T. Oleh sebab itulah, Rasulullah S.A.W menyarankan supaya kita sering mengingati maut kerana amalan ini penting lagi pula memberi manfaat.

-Fadhail Amal

Ulasan

n0vemBer zuLu berkata…
:-(

bagaimanalah keadaan sy nnti................
AisyahHumaira berkata…
Semoga kita termasuk dlm golongan mereka yang taat padaNYA..