Dikuasakan oleh Blogger.

SEBUAH KISAH...RAHSIA SYAIR DI ATAS PERKUBURAN...

>> Isnin, Julai 26, 2010

Seorang soleh bercerita bahawa pada suatu hari dia datang ke sebuah desa dan melihat tiga kuburan sebaris di tempat yang berdekatan. Dia tertarik terhadap ketiga-tiga kuburan tersebut kerana di atasnya ada tertulis beberapa rangkap syair.
Pada kubur pertama tertulis syair: Bagaimana orang yang tahu Tuhan akan menyoalnya
merasa seronok dan lazat dalam hidupnya?
Dia akan menyeksa orang yang zalim dalam hidupnya
dan akan membalas baik orang yang baik amalnya
Pada kubur kedua tertulis: Bagaimana akan terasa lazat kehidupan ini bagi yang meyakini kematian akan datang
merenggut dalam sekelip mata dan tiba-tiba
kematian akan menghempapnya dengan kerajaan yang besar dan megah
dan akan menempatkannya di dalam kubur sempit
sememangnya dia adalah calon penghuninya
Pada kubur ketiga terdapat syair: Bagaimana akan terasa lazat kehidupan ini
bagi yang sedar dirinya akan pindah ke kubur
di sanalah pemuda akan digugat kedudukannya
wajah jelita yang dibanggakan
akan lenyap serta merta
tinggallah badan dan anggota menanggung seksa
Orang soleh tadi pergi kepada seorang tua yang banyak tahu tentang cerita desanya. "Wahai syeikh! Aku melihat sesuatu yang ajaib di dalam desamu ini." kata orang soleh.
" Apa itu?" tanya syeikh.
" Aku berjumpa dengan tiga pusara yang masing-masing diatasnya tertulis beberapa syair." kata orang soleh sambil membacakan kandungan syair-syair yang telah dilihatnya.
" Sebetulnya cerita ketiga-tiga ahli kubur tersebut lebih ajaib daripada rangkap-rangkap syair yang kamu lihat di atas kuburnya."
" Apa itu? sila ceritakan kepadaku."
Syeikh menceritakan bahawa penghuni ketiga-tiga kubur itu adalah tiga orang adik beradik yang pekerjaannya berlainan. Yang pertama seorang zuhud, yang kedua seorang gabenor yang berkuasa dan yang ketiga seorang saudagar kaya. Walaupun berlainan profesi, ketiga-tiganya hidup rukun dan saling hormat menghormati antara satu dengan yang lain.
Suatu ketika saudara yang zuhud sakit dan apabila dirasa bahawa ajalnya sudah hampir, berkumpullah kedua-dua saudaranya yang lain sambil menanyakan halnya. Mereka menawarkan kepada si zahid untuk menyedekahkan hartanya bagi kepentingan saudaranya yang hampir meninggal itu. Akan tetapi dia menolak.
" Aku tidak berhajat kepada hartamu. Akan tetapi aku minta kepadamu berdua agar berjanji kepadaku akan sesuatu yang tidak akan kamu mungkiri selepas kematianku nanti.
" Boleh, sila katakan, apa hajatmu?"
" Apabila aku mati, kamu mandikan, kafankan dan solatkan mayatku. Setelah itu kamu kebumikan di bumi yang agak tinggi. Setelah itu tuliskan di pusaraku itu dua rangkap syair ini: Bagaimana orang yang tahu Tuhan akan menyoalnya, merasa seronok dan lazat dalam hidupnya
Dia akan menyeksa orang zalim dalam hidupnya dan akan membalas baik orang yang baik amalnya. " Selepas itu hendaklah engkau datang ke kuburku setiap hari dan baca syair itu, semoga ia akan menjadi pengajaran bagimu berdua."
Selepas berwasiat demikian, dia pun meninggal dunia. Dua adik beradiknya melaksanakan apa yang di amanahkan kepadanya. Setiap hari kedua-duanya datang dan membaca syair itu sehingga menangis. Adik yang menjadi gabenor datang dengan mengenderai kuda bersama askar-askarnya. Dia berdiri di sisi kubur abangnya sambil membaca syair tersebut dan menangis kerana kandungannya mengena pada dirinya. Pada hari ketiga, dia datang lagi sebagaimana biasa sambil diiringkan oleh askar-askarnya, lalu berdiri di sisi pusara membaca syair dan menangis. Apabila dia akan pulang, tiba-tiba mendengar bunyi benturan yang kuat dari dalam kubur yang menyebabkan hatinya gementar. Kemudian pulang dengan perasaan takut, gementar dan risau. Pada sebelah malamnya pula dia bermimpi melihat abangnya datang.
" Wahai abangku, bunyi apa yang aku dengar dari dalam kuburmu semalam?"
" Itulah bunyi pukulan terhadap ahli kubur yang zalim. Dikatakan kepadaku: " Kamu lihat orang zalim itu?" Mengapa engkau tidak menolongnya?" jawab abangnya
Sebaik sahaja terjaga dari tidurnya, si gabenor itu resah dan dipenuhi rasa takut dan gementar yang berterusan. Dia segera memanggil saudaranya yang menjadi saudagar dan menceritakan tentang mimpinya.
" Wahai saudaraku, aku yakin bahawa Allahyarham tidak berwasiat agar menuliskan rangkap syair itu di atas pusaranya melainkan hanya untuk memberi peringatan kepadaku." kata gabenor kepada saudara yang menjadi peniaga.
Kemudian dia berkata kepada para pegawai dan orang-orang yang ada disekitarnya: " Aku persaksikan kepadamu semua, bahawa mulai saat ini aku sudah bukan pemimpinmu lagi buat selama-lamanya."
Dia meletakkan jawatan serta merta buat menumpukan sisa-sisa hidupnya semata-mata untuk beribadah kepada ALLAH S.W.T, sambil mengembara ke bukit-bukit dan perkampungan sehingga ajal datang menjemputnya di hadapan sebahagian bekas rakyatnya. Pada hari-hari terakhir sebelum kewafatannya, saudaranya yang menjadi peniaga telah mendengar khabar mengenai bekas gabenor itu. Dia segera datang ke tempatnya untuk menanyakan apa-apa yang diperlukan.
" Sila berwasiat wahai saudaraku!" kata si saudagar.
"Apa yang akan aku wasiatkan. Aku sudah tidak punya apa-apa harta untuk diwasiatkan. Hanya saja aku minta kepadamu agar kamu berjanji untuk melaksanakan sesuatu setelah kematianku nanti."
"Boleh, sila katakan."
" Apabila aku mati nanti, kuburkanlah di samping kubur saudaraku dan tulislah di atas pusaraku syair ini: Bagaimana akan terasa lazat kehidupan ini
bagi yang menyakini kematian akan datang
merenggut dalam sekelip mata dan tiba-tiba
kematian akan menghempapnya dengan kerajaan
yang besar dan megah
dia akan menempatkannya di dalam kubur sempit
sememangnya dia adalah calon ahlinya
" Hendaklah engkau berziarah ke kuburku selepas tiga hari dari kematianku dan berdoalah kepada ALLAH semoga Dia merahmati arwahku."
Setelah berwasiat demikian, bekas gabenor itu menghembuskan nafas yang terakhir. Saudaranya segera menyempurnakan pengurusan mayatnya sehingga selesai dikuburkan. Sebagai memenuhi janjinya, dia menulis syair yang ditentukan diatas pusara saudaranya itu, kemudian pulang.
Tiga hari selepas pengkebumian, si saudagar datang berziarah ke kubur saudaranya dan berdoa kepada ALLAH semoga arwah saudaranya dicucuri rahmat. Apabila dia membaca syair yang tertulis di pusara sauadranya itu, dia pun menangis kerana sangat terkesan akan maksudnya. Setelah itu, dia pun bersiap sedia untuk pulang, tapi tiba-tiba terdengar bunyi gegaran yang sangat hebat dari dalam kubur sehingga membuatnya terperanjat dan hampir-hampir tidak sedarkan diri. Dia pun pulang dalam keadaan yang sangat ketakutan.
Pada sebelah malamnya, dia bermimpi melihat saudaranya yang telah meninggal dunia datang menghampirinya.
" Wahai saudaraku, engkau datang menziarahi kami?"
" Ya, selepas ini tidak ada ziarah lagi. Aku telah tenang dengan rumahku yang baru."
" Bagaimana keadaanmu sekarang?"
" Alhamdulillah baik."
" Bagaimana dengan abang kita?"
" Dia berkumpul dengan bersama umat-umat yang baik."
" Apa pesan engkau kepadaku?"
" Barangsiapa yang telah melakukan sesuatu, dia akan mendapatkannya. Oleh itu jagalah waktu hidupmu sebelum datang masa matimu." kata saudaranya yang telah mati."
Sejak itu, si peniaga mengasingkan diri dari urusan dunianya dan hatinya sentiasa ingat pada mati. Harta kekayaannya dibagi bagikan kepada fakir miskin dan dia sendiri menumpukan hidup beribadah kepada ALLAH. Anaknya yang sudah jadi seorang pemuda yang segak badan dan bagus wajahnya juga bekerja sebagai peniaga yang berjaya.

Beberapa masa telah berlalu, Ajal bekas saudagar yang telah menjadi sufi itu hampir menjemputnya. Saudara mara dan anaknya telah berkumpul.
" Berwasiatlah sesuatu wahai ayah." kata anaknya.
" Wahai anakku! Ayah sudah tidak punya apa-apa harta untuk diwasiatkan. Akan tetapi hanya minta kepadamu agar berjanji untuk melakukan sesuatu selepas kematianku."
" Boleh, sila katakan wahai ayah."
"Apabila aku mati, kuburkan di dekat kubur bapa-bapa saudaramu dan tuliskan syair ini diatas pusaraku:
Bagaimana akan terasa lazat kehidupan ini
bagi yang sedar dirinya akan pindah ke kubur
di sana kedudukan pemuda akan digugat
wajah jelita yang dibanggakan
akan lenyap serta merta
tinggallah badan dan anggota menanggung seksa
" Kemudian hendaklah engkau berziarah ke kuburku sehingga tiga hari. Berdoalah kepada ALLAH semoga ALLAH mencucuri rahmat kepadaku."
" InsyaALLAH, saya akan melakukannya." jawab si anak.
Setelah meninggal dunia, anaknya segera melakukan semua yang diamanahkan kepadanya. Dia berziarah ke kubur ayahnya setiap hari sambil berdoa untuk ayahnya dan membaca syair yang tertulis di pusara ayahnya. Pada hari ketiga dia telah mendengar suara dari dalam kubur yang sangat menggerunkan dan membangkitkan bulu romanya dan memucatkan mukanya. Dia pulang kepada keluarganya dalam keadaan takut dan gementar.
Pada sebelah malamnya pula, dia bermimpi melihat ayahnya datang sambil berkata: " Wahai anakku! Sesungguhnya engkau berada sangat dekat denganku, duniamu sudah berada di penghujungnya dan maut lebih dekat dari itu lagi. Oleh kerana itu bersiap sedialah engkau untuk menempuh perjalananmu dan periksalah keadaan kenderaanmu. Alihkan perhatianmu dari melengkapi isi rumah yang engkau tempati sekarang pada rumah yang bakal engkau tempati buat selama-lamanya. Janganlah engkau tertipu seperti orang-orang sebelummu yang telah tertipu oleh keinginan pada harta sehingga tidak sempat membuat persediaan untuk pergi kembali menghadapNya. Akibatnya mereka menyesal yang tidak berkesudahan setelah mati. Padahal penyesalan ketika itu sudah tidak ada gunanya lagi.
" Wahai anakku! Segera laksanakan, segera laksanakan."
Mimpi pemuda terhenti, kerana dia terjaga dari tidurnya dalam keadaan terkejut dan takut serta faham apa yang akan terjadi pada dirinya. Pada sebelah paginya dia pun segera megerjakan apa-apa yang perlu dia lakukannya. Semua hutang-hutangnya dijelaskan, hartanya disedekahkannya kepada fakir miskin, Pada pagi hari ketiga dari hari bermimpi, dia memanggil semua keluarganya dan anaknya kemudian berwasiat dan mengucapkan salam.
Setelah itu dia menghadap kiblat, mengucapkan Kalimah Syahadah dan menghembuskan nafasnya yang terakhir. Orang ramai datang berpusu-pusu ingin menguruskan jenazahnya dan berziarah ke kuburnya serta berdoa keatasnya di sana.

sumber: Darul Nukman

Catat Ulasan

بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Sahabat filah yang dikasihi ALLAh..

Lewat laman ini pasti dan pasti terdapat banyak kekurangan dan kesilapan yang tentu saja disebabkan kerana kedhaifan ana sebagai penulis.

Maka, kupinta ditegur sapa dan nasihat ikhlas sentiasa terbuka, demi wujudnya islah antara kita..in shaa ALLAH

Jazaakumullahu khairan wa ahsanal jaza' atas kunjungan hati :)

♥ Salam ukhuwahfillah, barakallahu fikum ♥

♥ Malik Bin Dinar ♥

Sebaik-baik contoh dalam dakwah islamiyyah ialah Rasulullah SAW. Sebarang usaha yang tidak mencontohi usaha dan cara Baginda SAW, kebiasaannya akan menemui kekecewaan dan kegagalan. Pendakwah hendaklah banyak mendampingi sirah Rasulullah SAW dan menjadikan Baginda sebagai Qudwah (ikutan). Dakwah Rasulullah SAW mengajak kepada Aqidah dan Iman dahulu dari yang lain.

Daie (pendakwah) hendaklah memperingati diri sendiri sebelum memperingati orang lain. Memperbaiki diri sendiri sebelum memperbaiki orang lain. Jika daie beramal dengan apa yang diperkatakannya nescaya memberi kesan kepada hati pendengar, jika tidak apa yang diperkatakannya hanya mampu sampai ketelinga sahaja. Demikianlah pandangan Malik Bin Dinar.

♥ Ummatan Wahidah ♥

Selagi kita mengaku ALLAH yang satu, selagi itulah pasti ada jalan untuk bersatu. Sesama muslim kita umpama dua telapak tangan, dengan dipertemukan, terhasillah persaudaraan.

Tangan kanan kotor, tangan kiri juga kotor, namun dengan interaksi yag harmoni berasaskan kelembutan dan kejujuran, kita akan saling membersihkan.

Jangan ada benci. Jangan dibauri kelicikan strategi yang penuh prasangka dan tipu daya... kedua tangan akan terus bercakaran. Keduanya akan saling melukakan.

Hidup hanya sementara... sampai bila kita akan bersengketa? Percayalah apabila berada di ambang kematian... kita akan jadi rindu untuk meminta maaf dan memaafkan.

- Ustaz Pahrol Mohamad Joui -

♥ Dr 'Aidh al-Qarni ♥

Syurga itu sgt mahal harganya, jangan terlalai dalam kesenangan atau semakin jauh dari ALLAH kerana kejahilan dan kesombongan.

Bermujahadahlah dengan sungguh sungguh...telanlah kepahitan mujahadah utk menikmati kelazatan ibadah..apatah lagi tawarannya adalah syurga ALLAH. Nafsu kita ini...ya..nafsu inilah yg harus kita didik dengan taqwa, jernihkan dgn ibadah yang ikhlas...sucikan dengan memohon langsung kepada ALLAH.

Memang benar...kalau kita berlonggar sangat dengan nafsu...lemah mujahadah..akhirnya kita menjadi tawanan nafsu. Hubungan dengan ALLAH terasa tawar...solat tapi rasa jauh, quran pun sudah tak tercapai dek tangan..dengan dosa terasa biasa. Justeru...isytiharkan Jihad!..dgn nafsu, dgn bisikan syaitan dari kalangan jin dan manusia...supaya kita kuat untuk menyebarkan kebaikan dan kesejahteraan pada yang lain dengan izin ALLAH.

~ Indahnya Syurga ~

  © Blogger template Snowy Winter by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP