KETAKWAAN (SIFAT BERHATI-HATI)

Kepulangan Rasulullah S.A.W daripada Satu Pengurusan Jenazah dan Jemputan Seorang Wanita


Semasa Rasulullah S.A.W pulang daripada satu pengurusan jenazah, utusan daripada seorang wanita telah datang menjemput Baginda S.A.W makan. Baginda S.A.W telah pergi bersama para sahabatnya. Makanan telah dihidangkan di hadapan mereka. Para sahabat r.a melihat Rasulullah S.A.W menyuap sesuap makanan lalu mengunyah tetapi Baginda S.A.W tidak dapat menelan makanan itu. Baginda S.A.W bersabda, " Naampaknya daging kambing ini telah dibeli tanpa keizinan tuannya."

Wanita itu pun menerangkan , " Ya Rasulullah, saya telah menyuruh seseorang ke pasar untuk membeli kambing tetapi dia tidak mendapati kambing di sana. Kebetulan jiran saya telah membeli seekor kambing. Saya telah menghantar orang ke sana untuk membeli kambing itu tetapi dia tidak ada di rumah. Isterinya yang telah menjualkan kambing itu."
Rasulullah S.A.W bersabda, " Berilah makanan ini kepada tawanan."

Keterangan dari kisah di atas
Bukanlah suatu perkara yang menakjubkan apabila makanan syubhat yang dikunyah oleh Rasulullah S.A.W terlekat di halkum Baginda S.A.W memandangkan kedudukan Baginda S.A.W yang tinggi. Sedangkan peristiwa-peristiwa seumpama ini turut dialami oleh umat yang biasa pun.


Hazrat Umar r.a Memuntahkan Susu Zakat

Pada suatu ketika Hazrat Umar r.a telah meminum susu dan beliau mendapati rasanya lain daripada biasa. Beliau telah bertanya kepada orang yang membawa susu itu, " Bagaimana susu ini diperolehi?" Orang itu menjawab, " Di padang pasir sana ada sekumpulan unta zakat sedang digembala dan saya telah pergi kesana. Penggembala-penggembala itu telah memerah susu unta-unta tersebut dan sebahagian telah diberikan kepada saya."
Hazrat Umar r.a telah memasukkan jarinya ke dalam mulut dan memuntahkan kesemua susu itu.

Keterangan dari kisah di atas
Para sahabat sentiasa berfikir supaya bahagian-bahagian badan mereka tidak terbentuk daripada sumber yang syubhat. Apatah lagi daripada sumber yang jelas keharamannya sebagaimana yang berleluasa pada zaman ini.

-Fadhail Amal

Ulasan