KEGHAIRAHAN MENDIRIKAN SOLAH SERTA KHUSYUK DAN KHUDUK DALAM SOLAH


Rasulullah S.A.W Bersolah Sepanjang Malam


Seseorang telah memohon kepada Hazrat Aisyah r.anha, " Ceritakan kepadaku apakah perkara aneh yang kamu lihat pada diri Rasulullah S.A.W?" Beliau menjawab, " Adakah perkara yang tidak aneh pada diri Rasulullah S.A.W?" Setiap perkara yang dilakukan oleh Baginda S.A.W ialah aneh. Pada suatu hari, Baginda S.A.W telah pulang pada waktu malam dan terus berbaring di sisi saya. Kemudian Baginda S.A.W bersabda, " Biarkanlah aku. Aku ingin beribadat kepada Tuhanku."

Setelah berkata demikian Baginda S.A.W terus berdiri bersolah dan Baginda S.A.W mula menangis sehingga airmata membasahi dada Baginda S.A.W. Kemudian Baginda S.A.W rukuk. Dalam rukuk pun Baginda S.A.W terus menangis. Kemudian Baginda S.A.W sujud. Dalam sujud pun demikian juga, Baginda S.A.W terus menangis. Setelah bangun daripada sujud pun Baginda S.A.W masih menangis, sehinggalah Hazrat Bilal r.a datang melaungkan azan untuk solah subuh.

Saya telah bertanya, " Ya Rasulullah, tuan menangis begitu banyak sekali sedangkan tuan ialah maksum-segala dosa dahulu dan sekarang (kalau ditakdir ada sekali pun) telah diampunkan oleh ALLAH S.W.T." Baginda S.A.W pun menjawab, " Adakah tidak patut aku menjadi seorang hamba yang bersyukur?" Selepas itu Baginda S.A.W bersabda, " Betapa tidak aku melakukan demikian sedangkan hari ini ayat-ayat ini telah diturunkan kepadaku, " Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi serta pada pertukaran malam dan siang ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan dan keluasan rahmat ALLAH) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati ALLAH S.W.T semasa mereka berdiri dan duduk dan (semasa) mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan kejadian langit dan bumi (sambil berkata), " Wahai Tuhan kami, tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau. Maka peliharalah kami dari azab neraka." (Surah Ali Imran:190&191)

Terdapat dalam beberapa hadith bahawa Rasulullah S.A.W bersolah begitu lama sehingga kaki Baginda S.A.W menjadi bengkak kerana terlalu lama berdiri. Orang ramai bertanya, " Ya Rasulullah, tuan begitu bertungkus-lumus sedangkan tuan sudah diampunkan?" Baginda S.A.W bersabda, " Tidakkah patut aku menjadi seorang hamba yang bersyukur?" (HR Bukhari)

- Fadhail Amal

Ulasan